Wajarkah ‘Ceiba Speciosa’ Jadi Ikon Bandar Baru Kuala Nerus?

6529

Oleh : Khairul Nizam Abdullah

KUALA NERUS – PAS Terengganu mempersoalkan kewajaran kerajaan Umno dibawah pimpinan Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, menanam tiga batang pokok untuk dijadikan mercu tanda, dengan harga ratusan ribu ringgit.

Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Ustaz Zakaria Dagang berkata, tindakan itu dilihat sebagai satu langkah tidak berhemat, dalam membelanjakan wang rakyat.

“Isu penanaman pokok benang sutera atau nama saintifiknya Ceiba Speciosa sebagai ikon mercu tanda Bandar Baharu Kuala Nerus (Bandar Al-Wathiqu Billah) yang ditularkan menarik perhatian ramai,

“Pokok yang diimport dari Brazil itu didakwa berharga RM180 ribu sebatang dan dikatakan sebanyak tiga batang ditanam di situ,”jelasnya.

Katanya, begitu banyak sebelum ini, projek pembaziran dilakukan kerajaan yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Sepatutnya, kata beliau yang juga Setiausaha PAS Kuala Nerus, kerajaan perlu memikirkan keutamaan dalam berbelanja agar ia memberi keuntungan atau pulangan langsung kepada rakyat.

“Apakah sudah tidak ada pokok tempatan untuk dijadikan pilihan?”, soal beliau.

“Sebelum ini sudah banyak pengalaman penanaman pokok asing di negeri ini yang akhirnya musnah begitu sahaja yang melibatkan kos yang tinggi daripada perbelanjaan kerajaan negeri,”ujar beliau yang ditemui, di sini pada Ahad 29 Januari

Beliau berkata, ada pihak yang mendakwa ia ditaja oleh pihak swasta dan tidak melibatkan wang kerajaan.

Justeru itu, beliau menggesa agar pihak berkuasa menyiasat perkara tersebut.

“Walaupun sudah ada penafian daripada pihak berkenaan dengan mengatakan bahawa pokok itu tidak melibatkan kos kerajaan negeri kerana ia disumbang oleh pihak korporat,

“tetapi kita harap pihak berkuasa membuat siasatan atas dakwaan itu,”tegasnya.

Meskipun ia mungkin ditaja, namun kata beliau, kemunasabahan pokok itu dijadikan ikon sangat dipertikaikan.