DUNGUN – Golongan veteran PAS (As-Sabiqun) berusia 60 tahun ke atas tidak seharusnya melihat usia sebagai alasan untuk berhenti menyumbang kepada perjuangan sebaliknya pengalaman mereka perlu dimanfaatkan bagi membimbing generasi muda.
Ketua Dewan As-Sabiqun Negeri Terengganu, Ustaz Haji Ismail Osman berkata, penubuhan dewan berkenaan membuka ruang kepada ahli veteran untuk terus menyumbang tenaga dan pengalaman mengikut kemampuan masing-masing.
Menurutnya, golongan berusia tidak semestinya perlu melakukan kerja-kerja berat, sebaliknya boleh memainkan peranan penting dengan berkongsi pengalaman, maklumat dan pandangan kepada generasi muda.
“Orang tua cara orang tua, pengalaman banyak. Maka sebarkan maklumat itu, berikan taujihat kepada anak-anak muda. Insya-Allah mereka akan bekerja dan kita akan melihat mereka akan bangga dengan kehadiran kita.
“Jangan pula rajin ayah-ayah dan tok ki ini hendak panjat pokok kelapa. Tidak payahlah. Tengok keadaanlah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Himpunan Dialog As Sabiqun di Dewan Arena Square, Dungun, hari ini.

Tambahnya, peranan golongan veteran juga penting dalam membantu jentera parti, khususnya melalui pengalaman yang diperoleh sepanjang penglibatan mereka dalam pelbagai jawatan sebelum ini.
Katanya, semangat untuk berbakti kepada perjuangan tidak sepatutnya terhenti hanya kerana seseorang itu sudah tidak lagi memegang jawatan dalam struktur parti.
“Tidak ada istilah untuk kita tidak bekerja. Bekerja tidak bekerja tidak menguntungkan Allah Taala,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata kewujudan Dewan As-Sabiqun turut menjadi platform untuk mengeratkan kembali hubungan ukhuwah dalam kalangan ahli veteran serta membolehkan mereka terus menyumbang melalui pelbagai aktiviti yang bersesuaian.
Menurutnya, kehadiran golongan veteran yang masih aktif juga mampu menjadi contoh kepada anak muda bahawa usia bukan penghalang untuk terus berbakti.
“Mudah-mudahan dengan adanya Dewan As-Sabiqun ini kita dapat meneruskan semangat jihad dan menjadi contoh kepada anak muda yang melihat ayah, tok ki dan abang mereka yang sudah berusia tetapi masih sanggup bekerja,” tambah beliau.








