Terengganu, Malaysia

TMT 2.0 Sasar Kehadiran 50K Persiapan Hadapi PRU16

TMT 2.0 Sasar Kehadiran 50K Persiapan Hadapi PRU16

KUALA TERENGGANU – Himpunan Teguh Memimpin Terengganu 2.0 (TMT 2.0) yang berlangsung selama tiga hari bermula 19 hingga 21 November ini menyasarkan kehadiran sehingga 50,000 peserta atau lebih sebagai sebahagian persiapan PAS menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Setiausaha Badan Perhubungan PAS (BPPNT) Negeri Terengganu, Dato’ Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, himpunan yang diadakan di Dewan Arena Square, Dungun itu merupakan kesinambungan program TMT 1.0 yang sebelum ini berlangsung di Kemaman.

Menurutnya, penganjuran kali kedua ini bukan sahaja menjadi medan menghimpunkan ahli dan penyokong PAS, malah bertujuan memperkukuh persiapan parti menghadapi PRU16 yang boleh diadakan pada bila-bila masa.

“Sepanjang tiga hari ini, pelbagai program disusun melibatkan pimpinan parti, golongan As-Sabiqun, Muslimat, anak muda serta aktiviti kekeluargaan bagi memastikan himpunan ini turut menjadi ruang pertemuan masyarakat pelbagai peringkat.

“Kita mengalu-alukan kehadiran seluruh rakyat Terengganu, khususnya penduduk Dungun dan kawasan berhampiran, untuk bersama-sama memeriahkan program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Mengulas lebih lanjut katanya , TMT 2.0 akan dimulakan pada Khamis, 19 November, jam 3 petang dengan Himpunan As-Sabiqun yang menghimpunkan pejuang-pejuang PAS terdahulu berusia 60 tahun ke atas dari seluruh daerah di Terengganu.

Pada malamnya, jam 9 malam, berlangsung Majlis Perasmian TMT 2.0 yang disekalikan dengan sambutan 70 tahun PAS Kawasan Dungun, dengan Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dijadual menyempurnakan perasmian.

Jelas beliau majlis itu akan turut menampilkan Ketua Penerangan Parti Wawasan Negara merangkap Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, penganalisis politik Isham Jalil, Yang Dipertua PAS Kawasan Dungun, Dato’ Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli dan ramai lagi.

Menurut Wan Sukairi, acara utama pada Jumaat, 20 November ialah Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Negeri Terengganu yang akan disempurnakan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan kehadiran Pesuruhjaya PAS Terengganu, Tuan Guru Haji Husain Awang.

“Pada malam tersebut, kita turut menampilkan Muhammad Rizwan Syarif, calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Bukit Katil yang memenangi Pilihan Raya Negeri Melaka, untuk menyampaikan ucapan sulungnya di Terengganu.

“Beliau juga dikenali sebagai ‘giant killer’ selepas berjaya menewaskan bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari,” katanya.

Pelbagai pengisian lain turut disediakan pada hari berkenaan termasuk program keluarga dan kanak-kanak pada jam 9 pagi, Himpunan Muslimat pada jam 3 petang, Konvoi Anak Muda pada jam 3.30 petang serta Santai Anak Muda bersama selebriti pada jam 5 petang.

Sementara itu, pada Sabtu, 21 November, program dimulakan dengan Bris Walk Teguh Memimpin bersama pimpinan PAS pada jam 7.30 pagi, diikuti sukaneka keluarga dan aktiviti sukan pada jam 9 pagi.

Pada sebelah petang, pengunjung turut berpeluang mengikuti Podcast Terang Bulan yang menampilkan panel penganalisis politik, termasuk Rafiq dan Papa Berry, pada jam 2.30 petang serta program Santai Kesenian dengan persembahan kumpulan buskers jemputan.

Malam terakhir himpunan pula akan diisi dengan Malam Berselawat dan persembahan kumpulan nasyid terkenal, Inteam.

Mengulas penyertaan parti politik lain, Wan Sukairi berkata, pihaknya tidak membuat jemputan khusus kepada mana-mana pemimpin politik, sebaliknya membuka penyertaan secara umum kepada seluruh rakyat Terengganu.

“Jemputan dibuat secara terbuka kepada semua pihak dan kita berharap masyarakat tanpa mengira latar belakang dapat hadir bersama-sama memeriahkan himpunan ini,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat Terengganu, khususnya penduduk Dungun dan kawasan sekitarnya, hadir bersama keluarga bagi menjayakan TMT 2.0.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan