KUALA TERENGGANU – Rakyat negeri Terengganu, ahli dan penyokong PAS di seru beramai-ramai hadir memeriahkan Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 2.0) yang berlangsung pada 19 hingga 21 November.
Pemangku Ketua Pemuda PAS Terengganu, YB Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, jemputan itu terbuka kepada semua, tanpa mengira latar belakang bagi memastikan program berkenaan mendapat sambutan yang meriah.
“Kita tengah usaha buat promosi dan jemput semua orang datang.
“Kita harap semua, sama ada ahli ataupun pengundi dan semua rakyat Terengganu dapat hadir untuk memeriahkan program kita ini, insya-Allah,” jelasnya.
Beliau yang juga ADUN Rantau Abang berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, (BAJET) hari ini.
Menurutnya, antara pengisian yang dirancang khusus untuk golongan muda ialah Konvoi Pemuda yang akan berlangsung Jumaat ini bermula jam 3 petang.
Katanya, setakat ini sebanyak 1,000 motosikal telah berdaftar menyertai konvoi yang akan bermula di Masjid Al-Huda, Rantau Abang sebelum bergerak menuju tapak program di Dewan Arena Merdeka, Dungun.
“Dalam konvoi ini bersama dengan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan dan Dr Wazi Anwar, salah seorang ikon permotoran di negara kita,” ujarnya.
Tambahnya, program berkenaan turut diteruskan dengan Santai Anak Muda yang menyediakan pelbagai aktiviti termasuk cabutan bertuah.
Menurutnya, pendekatan tersebut diharap dapat menarik lebih ramai anak muda untuk hadir dan bersama-sama memeriahkan TMT 2.0.









