Terengganu, Malaysia

Tangkapan Khalwat Turun 42 Peratus

Tangkapan Khalwat Turun 42 Peratus

KUALA TERENGGANU – Jumlah tangkapan khalwat di Terengganu menunjukkan penurunan sebanyak 42.1 peratus kepada 136 kes bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026, berbanding 235 kes sepanjang tahun 2025.

Timbalan Peseruhjaya III PAS Terengganu YB Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, angka tersebut mencerminkan trend penurunan kegiatan mungkar dan tidak bermoral itu.

“Berdasarkan pecahan daerah, Kemaman merekodkan jumlah tangkapan tertinggi dengan 39 kes bagi Januari hingga Oktober 2026, diikuti Kuala Terengganu dan Kuala Nerus masing-masing 19 kes, Dungun 19 kes, Marang 13 kes, Setiu tujuh kes, Besut lima kes dan Hulu Terengganu sembilan kes,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, berkata demikian menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu (Bajet).

Tambahnya lagi, pada 2025 pula, Kemaman turut mencatat jumlah tertinggi sebanyak 69 tangkapan, diikuti Kuala Terengganu 56 kes, Marang 27 kes, Hulu Terengganu 22 kes, Dungun 20 kes, Kuala Nerus 17 kes, Setiu 13 kes dan Besut 11 kes.

Dalam pada itu, data pendaftaran kes kategori 651 yang merangkumi khalwat, percubaan persetubuhan haram dan bersekedudukan menunjukkan sebanyak 468 kes didaftarkan sepanjang 2025.

“Bagi tempoh sehingga 15 Oktober 2026 pula, sebanyak 376 kes kategori berkenaan direkodkan, dengan Kemaman mencatat jumlah tertinggi sebanyak 103 kes, diikuti Kuala Terengganu 83 kes, Marang 51 kes, Dungun 46 kes, Kuala Nerus 38 kes, Hulu Terengganu 29 kes, Setiu 16 kes dan Besut 10 kes,” ujarnya.

Tambah beliau, tanggungjawab membuat tangkapan adalah di bawah kuasa Pegawai Penguatkuasa Syariah Terengganu.

Manakala pendaftaran kes di Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu dibuat selepas menerima dokumen lengkap daripada Jabatan Pendakwaan Syariah Terengganu.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan