Usul Syiah Dalam Sidang DUN Terengganu; Lebih Baik ADUN Fokus Isu Pembangunan

1385

Menarik sekali sidang DUN Terengganu kali kedua untuk penggal ke 13. Tempoh persidangan yang begitu singkat, tak sampai pun sehari ditambah pula dengan penolakkan soalan-soalan dan usul-usul yang menyentuh kepentingan rakyat dari ADUN pembangkang, tiba-tiba usul syiah pula yang diberi laluan oleh Dewan.

Usul yang dibaca oleh seorang ADUN penyokong kerajaan dari satu kawasan yang berada di Daerah Besut tetapi menumpang nama parlimen dari daerah yang berjiran. Sepatutnya menjadi kebiasaan setiap wakil rakyat, tanggungjawab dan fokus utama bila menghadiri sidang dewan, eloklah permasalahan dan saranan-saranan dari kawasan sendiri yang dibawa untuk perhatian atasan.

Saya pun anak jati Dun yang berkenaan. Lahir dan membesar di situ. Bergelumang dengan masyarakat sudah belasan tahun. Hampir tidak ada lagi surau dan masjid dalam Dun ini yang tak pernah saya pijak. Menyampaikan khutbah dan kuliah agama di sana sini, bukannya baru. Ianya bermula semenjak saya menuntut di tingkatan 5 lagi.

Saya juga melalui pengalaman nyata selama 6 tahun bersama penganut syiah ketika menuntut di Baghdad. Saya kenal orang-orang syiah ‘dari kepala hingga ke kaki’. Pengalaman-pengalaman ini banyak saya catatkan di dalam tulisan-tulisan saya. Tetapi walaupun begitu, seingat saya belum pernah ada walau satu persoalan pun berkaitan hal syiah yang diajukan dan saya pun tak pernah nampak walaupun sebutir batu yang digunakan oleh syiah untuk sembahyang di sini!

Tolong sesiapa yang ada fakta dan bukti tentang menularnya penganut syiah di Dun ini, mohon salurkan maklumat dan saya sendiri sanggup mengambil tanggungjawab untuk membasminya.

Berdasarkan pencerahan ringkas ini, adakah relevan dengan masa sidang yang sangat singkat dan berharga, ianya dibazirkan dengan usul merepek yang kosong dari segi fakta dan dibawa pula oleh yang bukan ahli. Kalau benarlah masalah syiah ini sangat serius di Terengganu, maka yang paling layak bercakap dan membawakan usul adalah ADUN Rhu Rendang. Paling tidak pun Bukit Payung atau Tepoh atau Teluk Pasu. Maknanya PAS mempunyai wakil yang berkelayakan untuk bercakap hal aqidah dan agama.

Sahabatku Adun yang berkenaan. Pandangan ikhlas saya, masalah utama rakyat di sini antaranya ialah hal pertanian, sawah terbiar kerana masalah pengairan, hal penerokaan tanah haram tinggalan Adun terdahulu, masalah sosial dan moral generasi muda, kadar jenayah yang meningkat serta kemudahan infrastruktur di beberapa kampung yang agak pedalaman.

Sahabatku YB, tolong lupakan hal syiah itu. Kalau YB benar-benar berminat nak mendalaminya, saya sanggup menurunkan segala maklumat dan pengalaman berkaitan hal syiah ini secara percuma sahaja kepada YB. Fokuslah kepada apa yang berkenaan, tinggalkan apa yang tak berkaitan.

Dr Azman Ibrahim
AJK Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu