Terengganu, Malaysia
Pendapat

Himpunan TMT Mengakar Kekuatan Organisasi

Himpunan TMT Mengakar Kekuatan Organisasi

Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor.

Badai ombak musim tengkujuh yang melanda kawasan pesisiran pantai Terengganu , laut menggulung dengan desiran angin kencang mematikan aktiviti kaum nelayan. Rakyat Terengganu tetap bahagia dengan lonjakan ekonomi yang semakin membaik dibawah kerajaan PAS. Era tamkin yang pastinya menjadikan organisasi PAS Terengganu semakin berkembang , dinamika perjuangan serta berdepan dengan pelbagai cabaran luar jangka. Bagi memantapkan organisasi PAS dipelbagai peringkat parti, Badan Perhubungan PAS Terengganu menganjurkan Himpunan Teguh Memimpin 2.0 yang akan berlangsung di Arena Square Dungun pada 19 sehingga 21 November ini.

Program berskala mega ini diunjurkan untuk menghimpunkan lebih sepuluh ribu pimpinan PAS disemua peringkat bertujuan memugar semangat, merimbunkan ukhuwwah serta merapatkan jurang antara semua lapisan kepimpinan. Pesuruhjaya PAS Terengganu ,Dato Husein Awang dalam cuplikan ucapan dimedsos sempena program ini telah mengingatkan peserta peserta tentang kewajiban bersama jamaah Islam untuk menegakkan deenullah, dakwah mestilah bersendikan Islam yang syumul dan kuasa politik Islam adalah penting untuk melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar.

Tuan Guru Pesuruhjaya PAS Terengganu yang juga merupakan mantan Senator PAS Terengganu ini mengingatkan khalayak tentang kesatuan umat Islam untuk menghadapi musuh dan memperkukuh perjuangan. Acara Himpunan Teguh Memimpin ini juga menyaksikan pelbagai acara merentasi pelbagai umur dan entiti parti seperti malam betselawat, santai anak muda, sukaneka keluarga, podcast, sehinggalah kemuncaknya pelancaran jentera PRU 16 negeri Terengganu. Dalam kesempatan himpunan inj juga , anugerah tokoh jasa dikenang kepada amilin PAS negeri Terengganu.

Terengganu seperti gelarannya negeri yang beriman adalah tanah subur perjuangan dengan perjuangan Islam, ceramah, kuliah , forum perdana, himpunan amilin adalah seperti irama yang mengasyikkan dan khabar gembira daripada rakyat negeri Terengganu. Ribuan penuntut ilmu setiap minggu berhimpun di kampong Rusila , Medan ilmu Jerteh dan lain-lain lokasi negeri ini daripada Besut ke Kemaman . Fenomena pelancongan ibadah dan juga ” edu tourism’ semakin menggelegak. Pengkuliah luar yang tersohor dan berilmu akan menambah gula dalam senyuman rakyat Terengganu bak teh panas yang dimakan dengan nasi dagang. Semua faktor yang saling berkaitan ini menjadikan perjuangan PAS sangat merimbun dilahan negeri yang diiktiraf paling bahagia ini.

Negeri jantung hati muslim negara ini merupakan wilayah pengaruh PAS kedua yang terkuat selepas Kelantan. Dalam tiga pilihanraya Umum , PAS merengkuh kekuasaan di negeri penyu bertelur ini iaitu pada tahun 1959 ,1999 dan 2018, manakala dalam Pilihanraya tahun 1969 dan 2013 hanya berselisih dua kerusi untuk memerintah negeri Tok Ku Paloh ini. Pastilah pendokong PAS Terengganu mahukan PAS terus menjadi kerajaan serta membangunkan negeri ini dengan acuan Islam dan syariatnya. Dedikasi serta kerja keras berkeringat perlu dilipatkali gandakan untuk menggapai impian ini.

Himpunan TMT Mengakar Kekuatan Organisasi

Terengganu mula menubuhkan cawangan PAS yang pertama di Dungun pada tahun 1956, dimana daerah agrarian ini mempunyai tokoh-tokoh ulama tempatan seperti Tuan Guru Haji Zainal Abidin, Ustaz Umar Shukri Embong dan lain-lain lagi. Pengaruh PAS dengan mudah berkembang di tanah kelahiran Tuan Guru Abdul Rahman Limbong, Tuan Guru Haji Umar Siam, Tok Ku Pulau Manis dan Tok Ku Paloh ini apabila guru-guru agama memainkan peranan menyebarkan pengaruh PAS melalui jaringan pendidikan Islam pondok serta madrasah agama. Inilah justifikasi yang disebut oleh Dr Khalil Abdul Hadi yang disebutkan dalam ucapan pra perasmian Ijtima’ pagi ini, rasional Besut adalah kubu PAS dalam dekad 1950an. Kekuatan jihad pendidikan adalah parallel dengan kejituan PAS, maka Presiden PAS yang ketiga iaitu Dr Burhanuddin al helmy diletakkan bertanding di Parlimen Besut.

Dengan latarbelakang semaraknya pendidikan Islam melalui sekolah pondok dan sekolah agama rakyat di Terengganu inilah ,maka PAS menjadikan negeri ini kubu mereka. Dalam Pilihanraya 1959, PAS Pusat telah meletakkan ramai tokoh-tokoh nasional bertanding di negeri ini. Antaranya ialah Dr Burhanuddin al Helmi, Hasan Adli , Khadijah Sidek telah memenangi kerusi Parlimen.

Pimpinan PAS Terengganu pasca era kepimpinan ulama ( pasca 1982) telah memberikan perhatian besar kepada pemberdayaan institusi pendidikan Islam maka Badan Perhubungan PAS Terengganu menubuhkan Maahad Darul Quran Rusila pada tahun 1985 dan juga KUDQI . Dewan Ulama PAS Terengganu sehingga zaman milineal dengan kerjasama PAS Kawasan, juga Dewan Ulama kawasan telah menubuhkan jaringan sekolah rendah Islam diseluruh Terengganu seperti Darul Taqwa,Darul Bayan, Darul Ehsan,Darul Iman, Darul Falah, SRIDAR an nur, SRIDAF, dan lain -lain . Dewan Pemuda PAS pula mengoperasikan jaringan PASTI diseluruh Terengganu sehingga pendidikan prasekolah ini menjadi fenomenal. Amat membanggakan pula dalam era pemerintahan kali ini, kewujudan SMIDI dan SRIDI seperti seperti cendawan tumbuh , menyemarakkan pendidikan Islam Nizomi .

Kegiatan jihad pendidikan di Terengganu juga disuburkan oleh pelbagai pihak persendirian serta pimpinan PAS malah fenomena kemunculan maahad-maahad tahfiz seperti cendawan dimusim hujan. Terengganu pasca 9 Mei 2018 menyaksikan kesuburan majlis-majlis ilmu dengan mendadak, ramai asatizah dan selebriti agama memilih Terengganu untuk berprogram. Masjid diseluruh Terengganu seperti berlumba-lumba mengadakan pelbagai program keilmuan serta pentauliahan skala besar kepada para pendakwah . Ini digalakkan oleh kerajaan PAS Terengganu , juga melalui penubuhan IMIT-S serta pelbagai gerakan swadaya untuk memajukan jihad pendidikan.

Orang Terengganu secara umumnya sangat cinta kepada agama dan meletakkan PAS sebagai benteng pertahanan Islam. Atas rasional inilah mengingatkan kita semua agar pimpinan dan amilin PAS agar banyak bermuhasabah dan jangan memandang rendah kepada keupayaan intelektual pengundi. Pimpinan PAS disemua peringkat wajib melengkapkan pakej kompetensi Kepimpinan, menguasai ilmu untuk menerapkan nuansa perjuangan dalam setiap elemen pentadbiran. Jom semua pendokong dan penyokong PAS , kita memenuhi ruang Arena Square Dungun pada hujung minggu ini .Insyaallah, Terengganu akan teguh memimpin dalam PRU 16, maka prasyarat kemenangan wajib dipenuhi oleh semua amilin PAS Terengganu.

( Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK BPPNT)

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan