Oleh KAM
MARANG – “Umat Islam wajib bersatu dengan ‘tali’ Allah iaitu agama Islam dengan berpegang kepada ajaranNya, meninggikannya dan mempertahankannya”.
“Lupakan perbalahan sesama sendiri dalam perkara cabang,” kata Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi ketika menyampaikan Khutbah Aidilfitri di Masjid Rusila, Marang, hari ini.
Menurutnya, hukum Allah itu telah dibuang oleh penjajah Inggeris setelah menjatuhkan kerajaan Islam di tanahair ini.


“Di antaranya ialah perkara yang disebut Akta 355 daripada Perlembagaan Negara yang menjadikan mahkamah syariah bagi orang-orang Islam disekat kuasanya.
“Melalui perbincangan melalui mereka yang sedar dan insaf, sekarang kita telah berjaya membuat persetujuan meminda perkara (Akta 355) ini bagi memecahkan halangannya,” jelas Ustaz Muhammad Khalil.
Namun, katanya masih terdapat di kalangan orang-orang yang mempertahankan warisan penjajah ini daripada orang-orang bukan Islam yang tidak mengenang jasa.
Menurutnya, Perlembagaan Negara memberikan hak kebebasan mengikut kepercayaan agama masing-masing di kalangan bukan Islam.


Katanya, Rang Undang-Undang (RUU) 355 hanyalah sekadar memperkenalkan mahkamah syariah dengan cara Islam yang berbeza dengan yang lain.
Menurutnya, RUU 355 itu menunjukkan cara yang lebih baik dan adil serta hanyalah memperkenalkan sedikit hukum Islam mengikut al-Quran dan Hadis yang tidak menyiksa.
Kata Ustaz Muhammad Khalil, mengadakan mahkamah syariah adalah perintah al-Quran dan mengikut ajaran Rasulullah SAW.
Mahkamah Syariah, menurutnya sudah ada pada namanya sahaja tetapi kuasanya berhukum dengan Syariat Allah disekat dan dihalang oleh penjajah Inggeris dahulu.
“Maka, wajib kepada kita (umat Islam) semua bersatu membuang segala sekatan itu dan haram bersama mereka yang menentang dan menghalang usaha ini.


Sebelum itu, beliau mengimamkan solat sunat Aidilfitri bersama hampir 3,000 umat Islam di Masjid Rusila, Marang.
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut berjemaah dari beranda rumah bersama ahli keluarga terdekatnya kerana masih berada dalam rawatan.
Ustaz Abdul Hadi baharu sahaja menjalani pembedahan injap jantungnya di Institut Jantung Negara (IJN) sebulan lalu dan dikehendaki berehat selama dua bulan.




























