Ulamak Dalam Penentangan Terhadap Cukai British di Terengganu

5366

Oleh:Dr Riduan Mohamad Nor

Campurtangan British di Tanah Melayu, bukan sahaja meredam Syariat Islam tetapi turut memperkenalkan cukai-cukai yang zalim kepada rakyat tempatan. Terengganu antara negeri yang menyaksikan kebangkitan rakyat jembel menentang kezaliman kuasa British dengan dimotori oleh ulama tempatan seperti Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Tuan Guru Haji Musa Minangkabau, Tuan Guru Haji Omar Siam dan lain-lain lagi.
Kemangkatan ulama besar Terengganu,Tokku Paloh pada 1917 dan raja paling warak serta alim iaitu Sultan Zainal Abidin III pada 1918 telah membuka ruang kepada kemasukan pengaruh British di Terengganu pada 1919. Semenjak itu British mulai campur tangan dalam pentadbiran kerajaan Terengganu termasuk urusan tanah dan percukaian sehingga menimbulkan kemarahan rakyat.

Rakyat Terengganu sebagaimana catatan Abdullah Munsyi agak kuat beragama dan terikat dengan ajaran para ulama. Antara kes yang membangkitkan kemarahan rakyat ialah peristiwa Hulu Terengganu pada 1921, beberapa penduduk Terengganu telah disaman oleh kerajaan kerana dituduh menceroboh tanah kerajaan. Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, murid kesayangan Tokku Paloh yang dikatakan alim serta mempunyai karomah itu telah mengetuai rakyat Terengganu menentang dasar-dasar British yang menindas termasuk menaikkan cukai yang membebankan rakyat.

abdul rahman limbongGerakan menentang British ini juga dengan pantas mencuri perhatian rakyat tani, apatah lagi dengan dokongan ulama tempatan yang lain. Beberapa ulama lain turut menyertai Haji Abdul Rahman seperti Haji Musa Minangkabau, Haji Abdullah Kampung Dusun, Lebai Hassan Pasir Nering dan juga Syed Saqaf, anak Tokku Paloh. Ulama Terengganu telah menggerakkan kebangkitan rakyat dengan menimbulkan persoalan hukum syarak dan hukum kafir, dan mendakwa sesiapa yang bekerjasama dengan British sebagai menggadaikan akidah.

ulama yang menduduki hirarki sosial yang tinggi dalam masyarakat Terengganu juga telah membangkitkan soal melantik semula Sultan Mohammad sebagai Sultan Terengganu .Kegelisahan sosial ini mengheret sekali isu politik istana Terengganu. Mereka mendakwa jika Sultan Muhammad memerintah, orang kafir (British) tidak dapat menguasai Terengganu.

Ketegangan keselamatan dan kegelisahan sosial kerana isu pencerobohan tanah terus berlaku sehinggalah pada 22 April 1928 di kawasan Hulu Terengganu.Antara yang memicu kebangkitan rakyat ialah kes sekumpulan petani dari Tersat dan Dungun berkumpul untuk melancarkan perang sabil dengan slogan, “jika orang putih (British) datang ke Ulu, mereka akan melancarkan perang sabil”.

British telah meredakan kemarahan rakyat, antaranya dengan menggunakan istana Terengganu. Keberangkatan Sultan Sulaiman ke Hulu Terengganu pada 4 Mei 1928 berjaya meredakan keadaan rakyat yang gelisah terhadap dasar kerajaan. Pada 19 Mei 1928, sekali lagi rakyat Hulu berkumpul di rumah Lebai Hassan di Kuala Por seramai 400 orang, 200 orang lagi berkumpul di rumah Encik Ismail ,bahkan bersiap dengan senjata. Perang menentang British tak mampu dielakkan lagi, Menjelang 21 Mei 1928,bangunan kerajaan di Kuala Berang telah jatuh ke tangan gerakan kebangkitan rakyat.

British bertindakbalas terhadap penentang-penentang mereka di Hulu Terengganu, Dalam satu serangan polis, 11 orang telah gugur syahid. Gelora penentangan akhirnya menjadi surut dengan tindakbalas penjajah , termasuk pemenjaraan dan buang negeri.
Kebangkitan ini melakar sejarah Terengganu dan dalam gerakan kebangkitan di Terengganu ialah tertonjol peranan ulama seperti Tuan Guru Haji Abdul Rahman, Haji Musa Minangkabau dan Syed Saqaf di samping tokoh agama tempatan seperti Lebai Hassan, Imam Taib Ahmad Pasir Nering dan Lebai Abdul Rahman dalam menggerakkan kebangkitan umat Islam.

Ulama tempatan telah meransang kesedaran sosio politik rakyat dengan ditanam erti jihad dan perang sabil menjadi sentimen yang penting dalam kebangkitan warga tani . Terserlah juga hubungan simbiosis keislaman sejagat apabila terkibarnya bendera “Stambul” (Istanbul) dalam kebangkitan yang menunjukkan wujudnya sentimen Pan-Islamisme yang menggambarkan bahawa ulama di Terengganu mahukan sistem khilafah diteruskan. Kerajaan British yang menunggangi pihak aristokrat Terengganu menganggap pengibaran “bendera merah”tersebut sebagai pengisytiharan perang. Apatah lagi dengan sejarah sengit perang empayar Pax Britanica terhadap khilafah Uthmaniah, termasuk di Palestine pada tahun 1917.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengarah Promosi HINDAR)