Oleh : Herryanto Bin Hasanuddin
Susulan penahanan dua orang penjawat awam yang terdiri dari seorang pengarah dan timbalan pengarah dari agensi awam yang membawa kepada pembongkaran satu kegiatan rasuah dan rampasan wang tunai kira-kira RM53 juta beserta aset berjumlah hampir RM114.5 juta oleh SPRM membuktikan amalan rasuah di kalangan penjawat awam di Sabah berlaku dengan sangat serius.
Tindakan oleh pihak SPRM ini wajar dipuji dalam usaha membanteras jenayah rasuah dalam kesemua aspek agar usaha penyelewengan dapat dihapuskan dan mengembalikan integriti yang diperlukan dalam sektor perkhidmatan awam dan pekerjaan.


Rasuah dalam membiarkan individu memonopoli projek-projek oleh kroni membawa kepada penyelewengan duit rakyat yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan infrastruktur di dalam negeri Sabah perlu dihapuskan. Penyelesaian konkrit seperti penubuhan jawatankuasa khas di peringkat kerajaan negeri untuk memantau proses dan pengagihan projek-projek mengikut SOP dan bebas dari sebarang unsur-unsur rasuah.
SPRM perlu memperluaskan pemantauan ke atas semua agensi awam di bawah kerajaan negeri terutama perkara yang melibatkan projek-projek tertentu agar wujud ketelusan dan memastikan mereka yang terlibat di dalam jenayah rasuah diambil tindakan dengan dibawa ke muka pengadilan.
UMNO dan Barisan Nasional perlu bertanggungjawab di atas segala penyelewengan dan salah laku dalam urus tadbir di dalam negeri ini. Pemuda PAS mengajak rakyat Sabah memastikan perubahan perlu dilakukan supaya negeri Sabah tidak lagi dikemudi oleh mereka yang terlibat di dalam rasuah dan ia perlu diterjemahkan di dalam pilihanraya akan datang untuk manfaat semua lapisan masyarakat dalam menuju ke arah negeri yang adil dan sejahtera.
***HERRYANTO BIN HASANUDDIN ialah Ketua Penerangan, Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS)






























