KOTA BHARU – Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengingatkan badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik supaya tidak menggunakan isu berkaitan masyarakat Orang Asli untuk kepentingan tertentu.
Mohd Amar berkata isu berkaitan pembalakan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Balah di Gua Musang tidak seharusnya dipolitikkan kerana ia berkaitan pentadbiran kerajaan negeri semata-mata.
“Saya harap mereka yang terlibat dalam isu ini betul-betul nak membantu Orang Asli, bukan untuk mengambil kesempatan. Jangan gunakan Orang Asli untuk ‘mileage’ tertentu. Itu harapan kitalah.


Konflik antara pembalak dan Orang Asli tercetus akhir bulan lepas kerana mereka membantah aktiviti pembalakan di HSK Balah.
Kumpulan Orang Asli dilaporkan tidak mahu aktiviti pembalakan diteruskan kerana mendakwa ia memusnahkan hutan dan kawasan tadahan air bukit untuk kegunaan harian masyarakat itu.
Mohd Amar berkata NGO yang mewakili masyarakat Orang Asli di kawasan itu juga diharap dapat hadir ke Kompleks Kota Darul Naim bagi berbincang dan menyelesaikan masalah berkenaan.
“Kita harap (masalah ini) tak berterusan sebab bagi saya ini lebih kepada salah faham… salah faham ini boleh diselesaikan,” katanya- BERNAMA




























