Terengganu Menjadi Mangsa ‘Kelurusannya’

921
http://www.buletinonline.net/v6/images/stories/berita30/strategikotorBN.jpg

Walaupun pengaruh moden makin melanda, tetapi tipikal citra Melayu Terengganu ini masih kekal dan dalam hal-hal tertentu mereka rela berkorban, walaupun kepentingan diri dan tempatan turut terkorban.

Sifat ini memangnya baik, tetapi di dalam setengah perkara merugikan. Sifat baik hati ini nampaknya mem-pengaruhi politik Terengganu yang dari satu segi dilihat sebagai kelemahan dari segi seni berpolitik bagi negeri tersebut. Ini digunakan oleh pihak yang berkepentingan dan merugikan rakyat negeri tersebut.

Citra jiwa Melayu Terengganu yang paling ketara dapat dilihat pada watak dan peribadi Menteri Besar Terengganu sendiri iaitu Tan Sri Dato’ Seri Wan Mokhtar bin Ahmad sebagai mewakili kelompok politik pemerintah Negeri Terengganu. Beliau satu-satunya negeri yang diperintah oleh ‘Ulama UMNO’. Beliau berkeperibadian lembut dan dihormati kawan dan lawan di dalam politik.

Namun keistimewaan ini yang juga mencerminkan ‘watak dan peribadi politik’ Negeri Terengganu dari satu segi dilihat sebagai satu kelemahan yang dapat digunakan oleh pihak pusat.

Di dalam percaturan politik Negeri Terengganu, walaupun negeri tersebut kini diperintah oleh BN dengan majoriti selesa, tetapi tidak menyerlah dari segi politik pada peringkat nasional. Pada masa ini dapat dilihat oleh kerana sifat ‘tidak apanya’, kalau dulu Negeri Terengganu mempunyai menteri pada peringkat pusat yang paling akhir diwakili oleh Dato’ Dr. Yusof Nor berkedudukan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan kini, tetapi oleh kerana kesilapan percaturan politiknya bertanding pada peringkat dewan undangan negeri pada penggal pilihan raya baru lalu sebagai persediaan untuk menjadi Menteri Besar Terengganu, nampaknya tidak berlaku. Kesilapan percaturan ini bukan saja merugikan beliau, tetapi merugikan Negeri Terengganu, kerana jawatan menteri penuh yang dulunya diperuntukkan kepada Terengganu tidak dipenuhi.

Sebagaimana sifat orang Terengganu yang berbudaya mengia dan menerima tanpa protes, maka ketiadaan jawatan menteri penuh di dalam kerajaan pusat diterima secara rela, tanpa protes. Terengganu hanya diberi peruntukan pada tahap Timbalan Menteri. Ketiadaan wakil Terengganu pada peringkat menteri kanan di dalam kabinet merugikan Terengganu, kerana tiada suara di dalam mesyuarat kabinet mingguan yang membuat keputusan dan tindakan.

Berbanding dengan Negeri Kelantan, sungguhpun negeri ini diwakili oleh kerajaan pembangkang, kerajaan pusat tidak memandang sepi terhadap negeri tersebut. Ini oleh kerana rakyat Kelantan pandai berpolitik dan tidak mengiakan kepada kehendak pusat, pihak kerajaan pusat yang diketuai oleh Dr. Mahathir Mohamad ingin mengatur strategi bagi menarik sokongan rakyat Kelantan kepada BN kerajaan pusat memberi peruntukan kerusi menteri di dalam kerajaan pusat jauh lebih banyak dari Negeri Terengganu yang setia berterusan itu. Kerajaan Kelantan diberi tiga jawatan menteri penuh iaitu MenteriPembangunan Usa-hawan dan Menteri Kewangan Kedua, Menteri Pembangunan Luar Bandar. Kelantan juga mempunyai jawatan Timbalan Menteri.

Sifat patuh Terengganu sebenarnya adalah mencerminkan kelemahan peribadi negeri itu yang tidak mampu berhujah, melobi dan memberi keyakinan apa lagi menggugat pihak pusat. Terengganu yang memberi sumbangan hasil terbesar kepada kerajaan pusat menerusi hasil gas dan petroleum lebih 50% hasil petroleum negara sepatutnya banyak mendapat keistimewaan dari kerajaan, tetapi keadaan tidak berlaku sedemikian. Sebagai contohnya pembinaan Universiti Petronas paling logiknya didirikan di Terengganu, kerana di situlah sumber petroleum yang dapat dijadikan tempat research dan pembangunan petroleum itu sendiri, tetapi apakah yang terjadi? Meskipun Kerajaan Terengganu meminta dan menawarkan tapak untuk didirikan di Terengganu, tetapi pihak kerajaan pusat dan Petronas tidak menghiraukan permintaan Terengganu.

Ini kerana diketahui Terengganu tidak mempunyai kuku dan taring bagi mendapat projek tersebut. Akhirnya universiti tersebut terdiri di Perak. Sebelumnya kelemahan Terengganu terserlah apabila rancangan untuk mendirikan penapis minyak terbesar dirancang, projek ini juga dari segi ekonomi dan strategi pembangunan Terengganu sepatutnya didirikan di Terengganu, tetapi oleh kerana sifat Terengganu yang lemah, adanya lobi dari negeri lain yang lebih kuat dan kebetulan orang kuat Petronas pada masa itu dari negeri berkenaan akhirnya Terengganu kecun-dang dan kilang penapis minyak itu akhirnya didirikan di Melaka! Sebenarnya nama Petronas yang gah itu, walaupun dekat di mata rakyat Terengganu, tetapi jauh di hati. Di dalam pentadbiran Petronas pada peringkat atasan tidak ketara wujudnya rakyat Terengganu yang berperanan menentukan polisi, bahkan pekerja-pekerja di dalam sektor petroleum umumnya bukan dinikmati rakyat Tereng-ganu.

Yang ketara diterima Negeri Terengganu ialah royalti 5% dari keluaran petroleum di negeri tersebut. Jumlah pendapatan lebih kurang 6 juta sebulan yang jika dibahagi sama rata kepada setiap rakyat Negeri Terengganu masing-masing akan dapat RM 750.00 sebulan itu, tidak ketara sampai kepada rakyat Negeri Terengganu. Terengganu nampaknya tetap berada pada paras kemiskinan yang tinggi, iaitu berkedudukan sebagai negeri kedua termiskin di Malaysia dengan kadar 17.3 peratus.

Ungkapan menyayat hati rakyat Terengganu bahawa, “Terengganu negeri kaya, tetapi rakyat miskin” nampaknya adalah benar. Orang bertanya ke manakah perginya hasil petroleum yang didapati itu? Lesap di dalam pelaburan Perwaja yang rugi yang kerajaan Terengganu mempunyai 20% saham di dalamnya? Di simpan? Atau tidak cekap di dalam pengurusan atau berlaku pembaziran?

Dengan fenomena yang dipaparkan di atas, sindrom patuh dan mengiakan telah memberi implikasi buruk kepada negeri dan rakyat negeri Terengganu. Kelemahan diri rakyat dan negeri Terengganu ini telah digunakan oleh kerajaan pusat bagi keselesaan dari segi mengeksploitasi ekonomi dan keselesaan dari segi politik, biarpun akibat darinya Terengganu lemah dari segi politik dan tidak dapat melepaskan diri dari belenggu kemiskinan.

Walaupun kaya dari segi pendapatan. Kita berpendapat untuk mengubah sindrom ini rakyat Terengganu perlu kepada perubahan. Terengganu perlu bersifat menggugat dan menyanggah kerajaan pusat sebagaimana yang dilakukan oleh rakyat Negeri Kelantan. Rakyat Terengganu perlu mengajar kerajaan pusat dengan menarik kepercayaan terhadap mereka dan memberi kepercayaan kepada PAS memerintah. Bila mereka tergugat mereka baru membuka mata dan memberi perhatian terhadap Negeri Terengganu dan hak-hak yang sepatutnya didapati oleh Negeri Tereng-ganu baru akan ditawarkan. Kerajaan pusat sebenarnya takut Terengganu terlepas kepada PAS. Ketakutan ini hendaklah diguna oleh rakyat mengajar kerajaan pusat.

Rakyat Negeri Terengganu jangan takut membuat perubahan, kalau tidak mereka terus dalam keadaan sekarang dan ketinggalan. Dengan perubahan yang dibuat rakyat, mereka tidak akan menghadapi masalah. Dengan royalti minyak dan hasil-hasil lain di Terengganu insya-Allah Terengganu akan lebih maju jika dikendalikan oleh tenaga-tenaga baru yang lebih dinamik.

Pihak PAS akan menampilkan calon-calon ulama dan para profesional yang akan membawa perubahan kepada Terengganu secara dinamik menurut landasan Islam insya-Allah.