Tanggungjawab PAS Mendedahkan Kesusahan Sebenar Rakyat

1800

(Kemiskinan bergenerasi masih lagi berlaku pada masyarakat Terengganu, dimana masih wujud dikalangan keluarga terperangkap dalam kepompong kemiskinan)

Perdana Menteri dipetik berkata bahawa kejayaan membanggakan dicapai oleh negara pada separuh tahun ini dengan ekonomi negara berkembang 5.6 peratus dan pelaburan langsung asing (FDI) meningkat kepada 17 bilion.

Banyak pengiktirafan antarabangsa telah diterima dengan Agensi Antarabangsa Pricewater House Coopers telah meletakkan Malaysia pada tangga ke 25 kuasa besar ekonomi dunia.

Bank dunia turut mengiktiraf ekonomi Malaysia dengan memberi semakan unjuran pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.9 peratus bagi tahun 2017.

Begitulah dengan bangganya PM mengistiharkan ‘kejayaan’ negara sambil dalam masa yang sama menyalahkan pembangkang kononnya beriya-iya memburukkan ekonomi negara untuk kepentingan politik peribadi.

Angka-angka yang dibentangkan oleh PM memang sangat menarik dan indah di atas kertas, tapi sayangnya rakyat bawahan tak akan kenyang dengan makan kertas.

Kertas laporan prestasi ekonomi negara ini juga tak laku untuk dibuat beli beras, lauk pauk dan keperluan harian rakyat marhaen.

Tak ramai pun rakyat yang berminat untuk nak tahu apa itu FDI. Apa yang ingin dilihat dan dikecapi oleh rakyat ialah bagaimana kerajaan mampu mengambil langkah untuk menurunkan harga barangan serta keperluan harian seterusnya mengurangkan beban hidup mereka.

Segenap daya dan upaya rakyat marhaen sudah dicurahkan untuk mereka meneruskan hidup dengan penuh kepayahan. Ketua keluarga ada yang terpaksa melakukan sehingga dua atau tiga kerja sehari demi menyara keluarga.

Saya pernah jumpa seorang ibu tunggal yang menyara empat orang anak bekerja sebagai pelayan kedai makan dari jam tiga petang hingga dua pagi setiap hari. Pagi esoknya selepas subuh sebelum cerah tanah lagi sudah berada dalam kebun getah mengambil upah menoreh.

Kerajaan jangan terkesima kerana kononnya pertumbuhan ekonomi negara mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa sehingga tak nampak realiti pahit yang sedang dilalui rakyat di alam nyata.

Pembangkang seperti PAS bukan bekerja untuk memburukkan nama negara apatah lagi melakukan tindakan yang mensabotaj ekonomi negara sebagaimana yang didakwa oleh PM, tetapi menjadi bertanggungjawab kita untuk mengenengahkan isu sebenar kehidupan rakyat.

Pembangkang ada sumbangan kita sendiri kepada pembangunan ekonomi negara. Silap kalau dianggap peranan pembangkang adalah untuk meruntuhkan dan mensabotaj.

Kita juga melakukan banyak usaha untuk menyantuni kesukaran hidup rakyat walau tanpa sebarang peruntukan dari mana-mana pihak. PM tak sepatutnya skeptikal dalam hal ini. Sebagaimana Umno/BN mendakwa mereka sayangkan negara, begitu jugalah pihak pembangkang.

Dr Azman Ibrahim
AJK PAS Pusat
4 Julai 2017.