Tan Sri Khalid, Kenangan Yang Sukar Dilupakan

206

Saya mengenali Almarhum Tan Sri Khalid Ibrahim melalui rakannya yang paling akrab, Almarhum Haji Subky Latif. Beliau diperkenalkan sebagai seorang tokoh korporat yang berjaya membebaskan ladang yang besar di Malaysia dan Indonesia daripada penguasaan Eropah yang pernah menjajah negara ini melalui kebijaksanaannya yang luar biasa.

Kali pertama saya menemuinya ketika berada di dalam Masjid al-Haram di Makkah, kira-kira pada tahun 2000 ketika menunaikan ibadat haji. Suatu pertemuan yang tidak diduga menjalinkan hubungan yang sangat akrab selepasnya, dalam keadaan saya tidak menduga untuk menariknya untuk terjun ke gelanggang politik.

Bahkan, turut diperkenalkan juga bahawa beliau ialah seorang yang sangat tinggi integritinya.

Apabila Almarhum melibatkan diri dalam politik Negeri Selangor, saya tidak teragak-agak untuk mencalonkannya menjadi Menteri Besar Selangor, walaupun beliau bukanlah wakil rakyat daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Malah, PAS terus mendukung beliau setelah partinya sendiri menolaknya, sehingga berjaya menyambung tugas untuk beberapa ketika sebelum beliau disingkirkan.

Sokongan diberikan kerana ketegasannya untuk menunaikan kewajipan bagi memimpin Negeri Selangor dan tiada sebarang sebab yang kukuh pun untuk memberhentikannya daripada posisi yang disandangnya.

Selepas tidak lagi menjadi Menteri Besar Selangor, Almarhum mengajak saya menjalankan satu tugas yang sangat berat untuk menyatukan kumpulan Islam di Indonesia. Ketika itu, saya merasa sangat kerdil untuk melaksanakannya, namun rupa-rupanya beliau mempunyai pengaruh dalam kalangan pemimpin kumpulan Islam di sana.

Tanpa keberatan, saya mengikutinya ke Indonesia. Kemudian diaturkan satu pertemuan dengan para pemimpin utama kumpulan Islam di Indonesia yang terbesar, Nahdlatul Ulama (NU) dan Muhamadiyah, termasuklah kumpulan yang tersohor, Ikatan Cendekiawan Muslim Indonesia (ICMI).

Pertemuan yang sukar, namun bertemu titik persetujuan pada dasarnya yang memerlukan perpaduan umat antara satu sama lain sehingga ke peringkat serantau dalam segala lapangan disebabkan satu agama dan satu rumpun yang sama. Walau bagaimanapun, perkara tersebut sukar untuk dilaksanakan, khususnya apabila sebahagian daripada mereka yang hadir ketika itu telah kembali kepada Allah SWT.

Saya mendapati Almarhum sangat dihormati oleh semua pihak dan saya banyak menumpang ketokohan beliau.

Saya juga tidak lupa sewaktu kami berkunjung ke Parlimen Indonesia yang dikenali sebagai Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), bertemu dengan Ketua dan Timbalannya yang baru sahaja pulang mengiringi Presiden Jokowi ke Pulau Lombok dan dicadangkan supaya dilaksanakan Projek Pelancongan Islam di sana. Namun, tiba-tiba rakan-rakan Indonesia itu menawarkan supaya Almarhum yang menguruskannya, namun tawaran tersebut ditolak dengan bahasa yang hormat. Situasi itu menunjukkan betapa kepercayaan mereka yang tinggi kepada Almarhum.

Cadangan yang terakhir ialah mahu dihimpunkan beribu Kiai (guru-guru Pondok Pesantren) untuk bermuzakarah dengan penglibatan seorang bekas Diplomat Indonesia yang saya lupa namanya. Malangnya, impian tersebut tergendala akibat berlakunya penularan wabak COVID-19, tatkala Almarhum sangat bersemangat bagi melaksanakannya.

Saya juga tidak lupa satu pengalaman beliau yang diceritakan ketika kami bertemu bersama Datuk Mustafa Ali, apabila beliau menceritakan pengalamannya memecat seorang pengurus ladang di Indonesia berbangsa Eropah. Apabila membawanya melawat ladang melalui kereta pacuan empat roda, selepas itu beliau menyewa helikopter untuk melihat daripada udara, tiba-tiba di tengah ladang didapati pokoknya berwarna kuning tidak berbaja dan terus memanggil pengurus berbangsa Eropah itu lalu memecatnya.

Dato’ Mustafa Ali terus menyampuk, “Tan Sri Pecat orang putih! Ini luar biasa.”

Almarhum dan kami semua menyampuk dengan turut ketawa besar bersama.

Lebih saya tidak menduga apabila Almarhum mahu berjumpa khusus dengan saya apabila ingin meminta pandangan berkenaan kes yang dibawa ke mahkamah terhadap seorang yang menfitnahnya. Katanya, “Ketika ibu saya masih hidup, saya tanya ibu saya. Sekarang ibu saya telah meninggal dunia, maka saya tanya Tuan Gurulah.”

Saya terus menjawab, “Memaafkan orang yang menzalimi kita sangat besar pahalanya.”

Beliau tanpa teragak-agak lagi terus menarik kesnya di mahkamah, walaupun sangat sukar bagi para pembantunya untuk menerima keputusan yang beliau ambil itu.

Justeru, marilah kita sama-sama mendoakan supaya segala amalnya yang soleh diterima Allah SWT dan dosanya sebagai seorang manusia yang bersifat lemah diampunkan dengan rahmat Allah yang tidak terhingga. Semoga beliau mendapat syurga yang dijanjikan, dengan penuh harapan bahawa kita juga akan bersamanya kelak. Amin.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 9 Muharram 2022 / 7 Ogos 2022