Takrif Kemiskinan Tidak Gambarkan Realiti Sebenar

1438

Oleh :Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

Islam sangat memberikan perhatian kepada golongan miskin dan miskin tegar (fakir) sehinggakan kedua-dua golongan ini disenaraikan sebagai asnaf penerima zakat [ at-Taubah : 60 ] dan fai’ [ al-Hasyr : 6 ] yang merupakan 2 sumber ekonomi utama dalam Islam.

2. Justeru, adalah menjadi kewajipan kepada Kerajaan untuk memastikan tiada rakyat yang tidak dapat memenuhi keperluan hidup mereka; meliputi makanan, pakaian dan tempat tinggal serta pendidikan dan kenderaan.

3. Pada Jun lalu, DS Abdul Wahid Omar menyatakan bahawa kadar kemiskinan telah berkurang daripada 49.3% pada 1970 kepada 0.6% pada 2014; senada dengan Bajet 2016 yang mengumumkan bahawa kadar kemiskinan berkurang daripada 3.8% pada 2009 kepada 0.6% pada 2014.

4. Suatu perkara yang meragukan saya ialah kadar kemiskinan ini – yang ditentukan berdasarkan Paras Garis Kemiskinan (PGK) – adalah tidak selari dengan kadar pengangguran sedangkan pekerjaan adalah punca pendapatan bagi seseorang.

5. Dengan penetapan PGK bagi Semenanjung Malaysia iaitu RM930, Sabah RM1,170 dan Sarawak RM990, tidak hairanlah jika hanya 0.6% sahaja dikategorikan sebagai miskin.

6. Dalam keadaan kejatuhan nilai Ringgit dan kenaikan kos pelbagai barangan dan perkhidmatan khususnya yang melibatkan kerperluan asas seperti makanan dan pengangkutan ditambah lagi dengan GST, nilai PGK ini adalah tidak lagi sepadan dengan realiti semasa.

7. Isu sebenar yang perlukan perhatian ialah bukan kadar kemiskinan yang menurun tetapi indikator atau ‘poverty measurement method’ yang digunapakai ini sudah lagi tidak berkesan untuk menilai keadaan sebenar kemiskinan.

8. Buktinya, jika diukur dengan kaedah yang disarankan oleh pakar ekonomi yang dimuatkan di dalam ‘The Malaysian Human Developement Report 2013’ – oleh United Nations Development Programme (UNDP) – iaitu berdasarkan separuh daripada median pendapatan, didapati 1.3 juta isi rumah di negara ini boleh dikategorikan sebagai miskin.

9. Pilihan lain untuk menentukan kategori miskin tegar pula, saya mencadangkan dan menyarankan agar Kerajaan menggunakan kaedah ‘had al-kifayah’ seperti yang digunakan oleh institusi-institusi zakat di negara ini.

10. Dua (2) kelebihan menggunakan kaedah ini ialah (i) ia secara automatik turut mengambilkira perbelanjaan bukan makanan (non-food spending) seperti tempat tinggal, makanan, pakaian, kesihatan, pendidikan dan pengangkutan berdasarkan Maqasid al Syariah (Objektif Syariah) dan (ii) cara pengiraannya lebih mudah.

11. Had al-Kifayah secara umumnya adalah kadar keupayaan ekonomi yang selayaknya bagi menjamin kelangsungan kehidupan seorang individu serta mereka yang di dalam tanggungannya. Ia bukan sekadar penentuan had minimum semata-mata tetapi ia menjangkaui persoalan tahap yang selayaknya bagi memastikan kelangsungan kehidupan seseorang serta tanggungannya.

12. Pengkategorian pendapatan – rendah, menengah, tinggi – juga harus disemak semula dan diselarikan dengan takrif miskin dan miskin tegar supaya insentif yang betul dapat disampaikan kepada kumpulan sasar yang sebenar.

13. Selain itu, punca kemiskinan seperti amalan ekonomi liberal kapitalis dan monopoli yang menyuburkan jurang antara golongan kaya dan miskin; penyusutan nilai mata wang Ringgit yang dipunyai oleh golongan miskin samada akibat perubahan pada kadar pertukaran mata wang asing atau kenaikan harga barangan dan perkhidmatan; dan pinjaman riba’ mestilah diberikan perhatian dan diberikan penyelesaian berpandukan Islam.

14. Kelemahan utama konseptual kemiskinan konvensional ialah ialah ia menafikan hak ketuhanan sebagai salah satu komponen penting untuk mengurus fenomena kemiskinan yang berlaku dan tidak melibatkan golongan kaya secara sepenuhnya sebagai satu golongan yang turut bertanggungjawab menyelesaikan masalah kemiskinan. Bahkan, ekonomi kapitalisme hanya semakin membesarkan jurang antara kaya dan miskin.

15. Suka saya tegaskan bahawa Islam adalah lebih awal dan lama mengemukakan penyelesaian berkesan terhadap masalah kemiskinan ini antaranya ialah dengan pengsyariatan zakat dan pengharaman riba serta larangan monopoli dan pencatutan.