Jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Terengganu (DPPKT) merupakan suatu beban yang besar diletakkan atas bahu saya selaku Ketua Pemuda yang baru dilantik, dari kesebelasan calon yang terpilih dalam pemilihan ahli jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Terengganu kali ke 31 pada 16 Ogos lepas.
Ia bukannya suatu kemuliaan bagi saya tetapi amanah yang sangat berat melebihi beratnya ‘Bukit Besar’. Walaupun berat, namun saya harus memikulnya sebaik mungkin demi kelangsungan perjuangan sayap kanan di Kawasan Parlimen Kuala Terengganu ini.
Ada kenalan media yang bertanya pada saya ke mana pemuda ingin dibawa? Maka catatan di bawah ini adalah jawapannya.
Selaku salah seorang ahli Parti Islam SeMalaysia (PAS), yang merupakan Jamaah Islam terulung di Malaysia, kita tidak boleh lari daripada tiga elemen penting yang perjuangan iaitu tarbiyyah, dakwah dan siasah (siyasah).
Justeru, saya gagaskan suatu visi, seagaimana di amanahkan, seperti yang catatan di bawah;
1. Tarbiyyah
Pemuda KT tidak akan hanya menjadi golongan pelapis, bahkan menjadi ‘rijal at-Taghyir’ – ejen perubahan kepada komuniti perbandaran yang majoritinya terdiri daripada belia yang berumur antara 21 hingga 40.
Pemuda KT haruslah mempersiapkan diri dengan ilmu Tarbiyyah Harakah Islamiyyah melalui aktiviti yang tersusun dan terlaksana dengan jayanya di semua peringkat, diperkasakan dengan pendekatan baru yang kondusif serta ‘mesra zaman’.
2. Dakwah
Setiap gerakan Islam tidak boleh lari dari tanggungjawab dakwah kerana itulah yang dituntut atasnya. Allah azza wa jalla berfirman yang maksudnya:
”Dan hendaklah ada di kalangan kamu satu umat yang menyeru kepada kebajikan dan mencegah kemungkaran , dan mereka itulah orang-orang yang berjaya ” ~ Surah Ali ‘Imran , ayat 104 .
-Manfaatkan Komunikasi
Pemuda KT selaku ‘pemuda bandaraya’ dan pemuda ‘ibu negeri’ perlu lebih ke depan dalam kegiatan kemasyarakatan, khususnya aktiviti yang melibatkan ‘orang muda’ melalui pelbagai ruang dan saluran yang ada di sekeliling kita.
Pemuda KT tidak boleh (saya katakan haram) mengasingkan diri dari arus ‘telekomunikasi pintar’ sebagai salah satu medium dakwah yang kontemporari.
Penyertaan pemuda KT dalam aplikasi berasaskan ‘internet’ terkini dan sangat penting dalam memastikan realisasi kelangsungan dakwah kepada ‘dunia orang muda’.
Penggunaan ‘gajet telekomunikasi pintar’ ini juga memudahkan penyebaran informasi dengan cepat dan berkesan.
-Jangan Tinggalkan Cara Konvensional
Namun begitu, usaha-usaha dakwah ‘secara maya’ tidak boleh meninggalkan kaedah dakwah ‘jamaie dan fardi’ dalam bentuk konvensional.
Hubungan peribadi dan ‘hadir diri’ konvensional secara interaktif, dengan semua golongan yang sangat perlu dalam tatacara ketimuran dan budi bahasa.
Mendekati masyarakat di ‘alam realiti’ sangat berbeza dengan alam maya. Mendekati premis orang ramai dan tempat tumpuan ‘sosio budaya’ seperti di padang bola, kedai kopi, tempat kerja, wakaf-wakaf di kampung dan seumpamanya masih relevan.
3. Siasah
Siasah (politik) matang dan bermaklumat yang ‘dinamik’seharusnya menjadi amalan di kalangan Pemuda KT selaku pemuda ‘ibu negeri’ dan pemuda ‘Bandaraya’.
Semua elemen siasah yang positif akan akan menjadikan setiap ruang politik itu satu opotuniti (peluang) dan semua elemen siasah yang negatif akan melahirkan sikap dan tindakan ‘wahan’ (prejudis).
Politik baru adalah kejayaan para Pemuda KT menyampaikan ideologi ‘politik Islam’ merentasi batas kaum, jantina dan kelompok, tanpa ‘fanatisme’ dan ‘eksklusifisme’.
PAS dilihat sebagai parti politik masa depan, perlu berkembang biak dan membesar dengan subur, bagi menggantikan Umno yang semakin mereput dan sedang daam ‘mode’ musnah dengan sendirinya!
Wan Faizul Abbas,
Ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Terengganu
16 Syawal 1434 bersamaan 23 Ogos, 2013











