Sukan Wadah Satukan Masyarakat dan Perkukuh Nilai Islam

557

SETIU – Program Kejohanan Bola Tampar Tertutup 2025 Piala Isteri YB Parlimen Setiu bukan sahaja menjadi medan menguji bakat sukan, malah berperanan menyatukan masyarakat serta mendidik anak muda mengenai kepentingan gaya hidup sihat berlandaskan ajaran Islam.

Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Setiu (DMPKS), Nor Azlin Farilah Hashim @Abas berkata, penyertaan golongan muda termasuk ibu-ibu dalam kejohanan tersebut membuktikan bahawa aktiviti sukan mampu mengeratkan ukhuwah dan mengajak masyarakat keluar daripada rutin harian yang terbatas.

“Hadis menyebut, mukmin yang kuat lebih baik daripada mukmin yang lemah. Kekuatan bukan sahaja dari segi jasmani, tetapi juga rohani dan mental. Jika kita lemah, ibadah pun sukar dilaksanakan dengan sempurna.

“Program seperti ini juga mengingatkan kita bahawa apa sahaja aktiviti termasuk sukan perlu dilaksanakan dengan menjaga aurat, waktu solat dan hubungan dengan Allah,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Kejohanan Bola Tampar Tertutup 2025 Piala Isteri YB Parlimen Setiu, di dewan Jabatan Kerja Raya (JKR), Permaisuri, semalam.

Nor Azlin turut menegaskan bahawa kejohanan seumpama ini memberi ruang kepada generasi muda untuk membentuk disiplin dan mengelakkan rasa malu untuk terlibat dalam aktiviti berfaedah.

“Yang menang kita ucap tahniah, yang belum berjaya boleh cuba lagi. Matlamat kita ialah keseronokan, kesihatan dan ukhuwah, bukan semata-mata kemenangan,” ujarnya.

Oleh itu, beliau akan terus menggalakkan penganjuran program berbentuk sukan kerana ia menjadi salah satu cara mendidik masyarakat supaya menjadi lebih kuat dalam semua aspek kehidupan.

Sementara itu, Ketua Ameerah Kawasan Setiu, Hidayah Azlin berkata program kejohanan yang dianjurkan di kawasan ini bukan sahaja menjadi pentas untuk mengasah bakat dalam arena sukan, malah berperanan penting dalam mengeratkan ukhuwah serta membina semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat.

“Walaupun kemenangan itu penting, tetapi semangat kesukanan dan persahabatan adalah nilai utama yang perlu diutamakan.

“Semoga kejohanan ini memberi manfaat serta meninggalkan kenangan indah untuk semua peserta,” tambahnya.

Justeru itu, beliau berharap dengan penganjuran kejohanan sebegini dapat melahirkan lebih ramai atlet muda yang berdisiplin serta berdaya saing tinggi.

Tambah beliau, johan membawa pulang trofi, pingat dan wang tunai berjumlah RM600.

“Naib johan menerima pingat bersama wang tunai RM400, manakala tempat ketiga membawa pulang pingat dan wang tunai RM250,” katanya lagi.