Setahun Berlalu, warga Urumqi masih curiga

967

http://buletinonline.net/images/stories/berita28/Urumqi_1437148c.jpgSETAHUN sudah berlalu, namun, rasa sangsi dan curiga masih menebal di kalangan para penduduk Islam Uighur dengan penduduk kaum Han di bandar Urumqi, wilayah Xinjiang.

Seperti kata seorang penduduk kaum Han, Encik You Jia:

‘Kawalan keselamatan bagus sekarang tetapi dalam hati saya tetap bimbang. Perasaan itu masih belum luput.’

Urumqi, ibu negeri wilayah Xinjiang, menyaksikan keganasan pada 5 Julai tahun lalu apabila etnik minoriti Uighur meluahkan rasa marah mereka selama berdekad-dekad berhubung pemerintahan China di wilayah itu dengan bertindak menyerang etnik majoriti Han.

(Gambar – tindakan penduduk yang marah ketika ketegangan di Urumqi)

Beberapa hari kemudian, kumpulan penunjuk perasaan Han yang berang membalas dendam keluar ke jalan-jalan mencetuskan kekacauan etnik terburuk di China bagi tempoh beberapa dekad.

Pergolakan itu meragut hampir 200 nyawa dan mengakibatkan 1,700 yang lain cedera.

Sejauh ini, 26 orang telah dijatuhi hukuman mati kerana terlibat dalam rusuhan itu.

Apa yang lebih ketara ialah insiden itu menonjolkan keretakan dalam hubungan etnik di wilayah itu.

TINDAKAN PEMERINTAH

Selepas rusuhan tahun lalu, China telah melancarkan beberapa dasar yang diharap dapat membantu wilayah Xinjiang, yang kaya dengan sumber gas dan minyak, mencapai stabiliti dan pembangunan.

Pemerintah memaklumkan akan menghantar bantuan pembangunan berjumlah 10 bilion yuan ($1.02 bilion) ke wilayah itu bermula 2011 sebagai cubaan untuk menaik taraf kehidupan etnik Uighur dan menghapuskan perasaan tidak puas hati.

Para pemimpin China juga menekankan semua kumpulan etnik dilayan dengan sama rata.

Sebelum ini, etnik Uighur menyatakan bahawa program pembangunan di wilayah itu hanya memberi manfaat kepada etnik pendatang Han dan kemasukan lebih ramai etnik Han ke wilayah itu telah mengancam budaya mereka.

Dasar pemerintah untuk memindahkan penduduk Han ke wilayah Xinjiang telah menyebabkan jumlah golongan itu meningkat daripada lima peratus dalam 1940-an kepada lebih 40 peratus sekarang.

Ramai penduduk Han berpendidikan lebih tinggi dan lebih fasih berbahasa Mandarin berbanding dengan penduduk Uighur.

Golongan itu lantas lebih mudah mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.

Pihak berkuasa juga dituduh menyebabkan kaum etnik Uighur rasa dipencilkan, dengan kawalan ketat ke atas cara mereka mengamalkan ajaran Islam.

Menurut seorang pakar kaum Uighur di Maktab Pomona di California, pemerintah China sebenarnya mempunyai dasar yang bertujuan memberi golongan minoriti lebih peluang dalam bidang seperti perkhidmatan pemerintah.

Awal tahun ini, pemerintah wilayah malah mengumumkan langkah untuk merancakkan pengambilan pekerja di Xinjiang.

Ini termasuk menetapkan semua perniagaan dan projek menggajikan lebih ramai pekerja daripada etnik minoriti.

Meskipun demikian, penduduk setempat Uighur berkata undang-undang ini tidak selalu dipatuhi.

‘Mungkin dengan kesedaran baru mengenai masalah di Xinjiang, mereka akan cuba lebih mematuhi perlembagaan mereka. Namun, hakikatnya, tidak banyak yang berubah di peringkat akar umbi,’ kata Encik Gladney.

Pada masa yang sama, para pengamat akur pemerintah China harus mencapai keseimbangan.

Di sebalik usaha pemerintah untuk meredakan rasa tidak puas hati kaum etnik Uighur, penduduk etnik Han pula yang marah.

Mereka mendakwa penduduk Uighur diberi keistimewaan yang tidak adil, semata-mata ekoran status minoriti mereka.

Antara lain, penduduk Uighur dikatakan diberi kelonggaran bagi dasar perancangan keluarga yang membenarkan setiap pasangan mempunyai hanya seorang anak.

MASA DEPAN XINJIANG

Selang setahun rusuhan keganasan etnik terburuk dalam tempoh beberapa dekad di negara itu, pemerintah China telah memasang 40,000 kamera pemantau definisi tinggi di Urumqi.

Kamera keselamatan ‘tahan rusuhan’ dipantau polis di lebih 4,000 lokasi umum termasuk di jalanan, bas, sekolah dan pusat beli-belah.

Di kalangan para penduduk, ada di antara mereka yang yakin rusuhan tahun lalu tidak akan berulang.

‘Saya tidak bimbang kerana saya percayakan pemerintah China. Anda boleh lihat sendiri langkah tambahan yang telah diambil,’ kata seorang penduduk Urumqi, Encik Dou Huanying, 20 tahun,

Dalam tempoh tiga bulan mendatang, pekerjaan baru akan diwujudkan untuk sekitar 16,000 keluarga yang kini mengalami kesukaran mendapat kerja.

Rangsangan ekonomi ini bertujuan mempertingkatkan taraf kehidupan golongan etnik Uighur dan meredakan kemarahan mereka terhadap pemerintah.

Meskipun demikian, tidak semua penduduk etnik Uighur berpendapat keadaan sekarang lebih baik berbanding setahun lalu.

Seorang tukang masak daripada etnik Uighur berkata:

‘Keadaan telah bertambah buruk. Kami sukar mencari nafkah dan tidak boleh berniaga sendiri.’

Seorang lagi penduduk bandar Urumqi yang tidak mahu namanya disiarkan menambah:

‘Ramai orang muda Uighur yang pernah ke luar negeri. Mereka fasih berbahasa Inggeris dan Jepun. Tetapi mereka tidak dapat pekerjaan di sini.

‘Saya telah menghadiri banyak temuduga tetapi mereka tidak ingin menggajikan saya kerana saya kaum Uighur.’

Seorang profesor di Universiti Sains dan Teknologi Hongkong, Encik Barry Sautman, yang pakar dalam hubungan etnik di China berkata:

‘Saya tidak menjangkakan perubahan pesat, kerana program serupa itu (rangsangan ekonomi) biasanya lambat untuk dilaksanakan.’

Perubahan ternyata mengambil masa.

Setahun mungkin terlalu awal untuk melihat perubahan ketara.

Namun, apa yang lebih penting ialah para penduduk etnik Uighur mengambil langkah penting walaupun perit untuk mula menaruh kepercayaan terhadap pemerintah untuk memperbaiki keadaan.

Rusuhan tahun lalu telah menarik perhatian dunia terhadap nasib mereka.

Kini, tentunya dunia tidak akan melupakan mereka.-Cyberita