Seruan Zikir Hasbunallah Untuk Mengangkat Musibah

169

Setiap pihak ada bebanan dan tanggungjawab yang perlu dipenuhi untuk meringankan musibah yang ada termasuklah kepada diri sendiri.

Di samping usaha untuk meningkatkan kadar vaksinasi, kerajaan mempunyai amanah yang besar untuk memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada bantuan.

Wakil pembangkang di kawasan-kawasan juga berperanan mengagihkan peruntukan 300 ribu ringgit yang diberikan oleh kerajaan untuk membantu rakyat.

Ada rakyat yang ditimpa satu demi satu ujian, sehingga buntu menghadapi masalah hidup, dan tidak tahu ke mana lagi mahu dituju. Mohonlah juga pertolongan Allah S.W.T dan janganlah berputus asa.

Cubalah amalkan zikir seperti yang disebut di dalam firman Allah S.W.T dalam surah Ali Imran, ayat 173 :

ٱلَّذِینَ قَالَ لَهُمُ ٱلنَّاسُ إِنَّ ٱلنَّاسَ قَدۡ جَمَعُوا۟ لَكُمۡ فَٱخۡشَوۡهُمۡ فَزَادَهُمۡ إِیمَـٰنࣰا وَقَالُوا۟ حَسۡبُنَا ٱللَّهُ وَنِعۡمَ ٱلۡوَكِیلُ
Maksudnya : (Iaitu) Orang-orang (yang mentaati Allah dan Rasul) yang ketika ada orang-orang mengatakan kepadanya, “Orang-orang (Quraisy) telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, karena itu takutlah kepada mereka,” ternyata (ucapan) itu menambah (kuat) iman mereka dan mereka menjawab, “Cukuplah Allah (menjadi penolong) bagi kami dan Dia sebaik-baik pelindung.”

Imam al-Khottobi R.H mengatakan makna “Al-Wakil” dalam ayat ini bermaksud Tuhan yang bertanggungjawab memberi rezeki dan pelbagai kebaikan bagi hamba-hambaNya.

Dikatakan bahawa setelah Nabi Ibrahim A.S menghancurkan berhala-berhala sembahan orang-orang kafir di negerinya, baginda dibawa menghadap Raja Namrud dan dijatuhi hukuman mati dengan cara dibakar hidup-hidup.

Setiap penduduk negeri itu mengumpulkan kayu-kayu api untuk upacara pembakaran sebagai tanda bakti kepada tuhan-tuhan mereka yang telah dihancurkan oleh Nabi Ibrahim A.S.

Dalam Syarah Riyadhus Shalihin, Syeikh Muhammad bin Al Utsaimin mengatakan dalam riwayat Imam al-Bukhari, disebutkan bahawa Abdullah bin Abbas Radhiyallahu ‘anhuma berkata:

“Kalimat terakhir yang diucapkan Nabi Ibrahim A.S ketika dilemparkan ke dalam api adalah ‘Hasbunallahu wa nikmal wakil’ (cukuplah Allah menjadi penolong bagiku, Allah adalah sebaik-baik pelindung).

Nabi Ibrahim A.S ketika itu berhadapan dengan tekanan yang sangat besar, tapi baginda memilih untuk meminta pertolongan daripada Allah, kerana Dialah yang menjaga seluruh kehidupan.

Dalam keadaan yang getir ini, saya ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk mencontohi Nabi Ibrahim A.S, dengan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dan meletakkan setinggi-tinggi pergantungan kepada tuhan kita, Allah S.W.T.

Mudah-mudahan, penyerahan sepenuh hati yang kita berikan akan mengangkat musibah yang asalnya datang daripada Allah S.W.T juga.

Jemput sertai channel telegram Marzuk Shaary https://t.me/marzukshaary untuk mengikuti perkongsian-perkongsian yang terkini.

YB Datuk Ahmad Marzuk Shaary
21 Zulkaedah 1442H / 2 Julai 2021M