Fitnah ‘Bertali Arus’ Bukti PAS Diterima Baik

527

Oleh : Adli Mohamad

KUALA TERENGGANU – Serangan fitnah bertali arus adalah bukti yang sahih bahawa PAS semakin diterima baik oleh seluruh masyarakat, pelbagai peringkat di negara ini.

Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Dato’ Ustaz Husain Awang berkata, parti Islam itu bahkan terus gagah menjadi benteng dan harapan rakyat, mempertahankan kesucian dan kedaulatan agama Allah serta memelihara keharmonian dalam kalangan rakyat.

“PAS memperjuangkan Islam sebagai akidah dan syariat, menjadikannya panduan berpolitik dan bernegara, juga mengukuhkan ukhuwah dan memupuk perpaduan ke arah kehidupan yang lebih positif.

“Serta menjalinkan menyertai kerjasama dengan pertubuhan dan persatuan bagi memperjuangkan hak umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab mewujudkan keharmonian antara kaum di dalam negara ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program konvesyen Penerangan PAS Terengganu secara atas talian, pada Sabtu, 3 Julai.

Kata beliau, pengiktirafan rakyat terhadap usaha murni itu akan menjadi kekuatan PAS untuk menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) kali ke-15.

“Sekarang ini kita telah berada di ambang, dijangka akan diadakan paling awal selepas pembentangan Belanjawan 2022, yang akan berlaku pada Oktober nanti.

“Berlaku dalam keadaan perlu mematuhi norma baru mengikuti Proesdur Operasi Standart (SOP) dimana akan menjadikan proses pembuangan undi pada kali ini berbeza,” ujarnya.

Oleh itu, beliau mengarahkan agar jentera PAS memberikan perhatian kepada pengundi berusia 18 tahun, walaupun proses pendaftaran masih belum dimulakan.

“secara manual atau secara automatik, namun kelompok itu dijangka akan memberi suasana dan perubahan yang baru dalam pilihan raya,” tambahnya.

Justeru itu, sudah semestinya, kata beliau, jentera di semua peringkat telah pun bersiap siaga bagi menghadapi segala kemungkinan.

“Hari ini kita dijelaskan bahawa media sosial memainkan peranan utama, kerana kempen bersemuka sudah tidak memberikan peluang dalam keadaan sekarang.

“Kempen secara maya dilihat lebih efektif dan menyeluruh, boleh memberikan penerangan kepada pengundi belum mempunyai pegangan politik, masih mencari idealisme menilai sesuatu melalui isu sensasi.

“Maka perlu diberikan tumpuan dan diambil cakna pada golongan muda ini, ”katanya.