Serangan di Uganda bertujuan bunuh lebih ramai warga AS

1016

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita31/uganda.jpgKAMPALA (Uganda): Lelaki yang mengaku dalang serangan bom terhadap peminat bola sepak Piala Dunia di Uganda berkata dia berharap membunuh lebih ramai warga Amerika Syarikat dalam letupan yang membunuh 76 orang, termasuk seorang warga Amerika, bulan lalu.

Para pemberita diberitahu dalam satu sidang akhbar bagi menonjolkan empat suspek serangan tersebut bahawa jumlah korban dalam tiga letupan itu mungkin lebih tinggi jika salah seorang daripada mereka tidak menarik diri pada saat-saat terakhir.

Haruna Luyima, adik lelaki dalang serangan itu, berkata dia ditugaskan meletak alat letupan keempat dalam sebuah dewan menari.

‘Tetapi apabila saya sampai ke sana saya tertanya-tanya mengapa ramai orang sedang menonton perlawanan bola sepak di televisyen harus dibunuh begitu saja,’ kata lelaki 27 tahun itu.

Dalam sidang akhbar yang dianjurkan para pegawai Uganda itu semalam, Haruna berkata dia meletak beg komputer riba mengandungi bom di batas bunga dan lari tanpa meletupkan bom itu.

Para pegawai menemui beg itu sehari selepas serangan ke atas penonton perlawanan akhir bola sepak Piala Dunia itu pada 11 Julai lalu.

Sebuah kumpulan militan yang dikaitkan dengan Al-Qaeda, Al-Shabab, mendakwa bertanggungjawab atas serangan-serangan itu dan berkata ia menyasarkan Uganda kerana tentera negara itu yang menyertai tentera pendamai Kesatuan Afrika (AU) di Somalia membunuh orang awam Somalia.

Seorang lelaki Uganda, Isah Ahmed Luyima, berkata dia mendalangi serangan bom itu dan merekrut adik lelakinya serta rakannya untuk membantu.

Lelaki keempat, yang turut ditahan dan mendakwa dia anggota Al-Qaeda, dikatakan melakukan kesilapan dalam perancangan serangan itu dan dipinggir.

Isah, bekas kakitangan perpustakaan universiti berusia 33 tahun, berkata dia menyertai AlShahab pada 2009 dan berjuang bersama pejuang asing lain menentang tentera pendamai AU, yang melindungi pemerintah Somalia yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

‘Saya menyasarkan tempat dikunjungi ramai orang Amerika. Saya diyakinkan rakyat Amerika bertanggungjawab ke atas penderitaan Muslim di seluruh dunia,’ ujar Isah.

Menurut para pegawai Uganda, keempat-empat lelaki itu telah mengaku terlibat dalam serangan tersebut.

Mereka meminta maaf semasa sidang akhbar itu dan berkata mereka tidak didera agar meminta maaf.

Tentara Uganda sering dikritik kumpulan hak asasi manusia berhubung cara mereka melayan tahanan. — AP.