Oleh : Izzat Al Qushairi
SETIU – Santai BBQ yang dianjurkan oleh Alternatif Riding Club (ARC) Pemuda PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit berjaya mengikat hati anak-anak muda.
Ketua Pemuda PAS Setiu, Ustaz Shafizi Ismail berkata, program yang membina generasi pelapis seumpama itu akan akan terus dilaksanakan pihaknya dari semasa ke semasa.
Jelasnya, ini kerana generasi muda perlu dibimbing dengan program-program yang bermanfaat supaya parti dan negeri tidak ketandusan pemimpin.
“Sudah menjadi kebiasaan bagi rakyat atau mana-mana badan yang menjadi pihak kerajaan akan mengharapkan perhatian yang lebih,
“dan Insya-Allah di peringkat DUN Batu Rakit banyak program akan dilancarkan terutama program sebegini,” ujarnya
Turut hadir memeriahkan program tersebut, Ketua Pemuda PAS Batu Rakit, Ustaz Khairul Nizam Mohd Rozali, Ketua ARC Terengganu, Rahim Razali dan Setiausaha ARC Terengganu, Shahrizan Yahya.
Shafizi turut menegaskan, kepimpinan pemuda juga perlu mengumpulkan seramai mungkin anak muda batu rakit bagi menyertai Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) pada bulan 9 nanti.
Katanya, perkara itu penting bagi pihaknya menganalisa kekuatan semasa demi mendepani masa depan parti.
“Seterusnya saya harapkan ketua pemuda baharu dapat gerakkan 300 pemuda istiqomah yang sebelum ini kita pernah kumpulkan dengan sebaiknya dan sebarang masalah atau bantuan yang dipinta boleh dibincangkan dengan pihak Majlis Tindakan DUN (MTD).
“Saidina Ali R.A pernah berkata, jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini,” tambah beliau.