Sambutan Tahun Baharu; Detik Merenung Jiwa, Momen Baiki Kelemahan

282
Dr. Haji Wan Mat Sulaiman

KUALA TERENGGANU — Sambutan Tahun Baharu 2026 seharusnya menjadi detik renungan jiwa, momen memperbaiki kelemahan diri dan memperkukuh pergantungan kepada Allah, bukannya sekadar pesta simbolik atau hiburan semata-mata.

Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Dr. Haji Wan Mat Sulaiman, berkata, fitrah manusia setiap kali melangkah ke tahun baharu adalah mengharapkan kebaikan dan keberkatan untuk diri, keluarga serta negara.

Namun katanya, Islam mengajar agar harapan tersebut disertai penilaian jujur terhadap kekuatan dan kelemahan diri sepanjang tahun yang telah berlalu.

” Islam mengajar kita supaya sentiasa menilai segala kekuatan dan kelemahan yang telah berlaku pada diri sepanjang tahun yang sudah berlalu supaya kelemahan diri lalu itu dapat diperbaiki dengan baik,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Beliau menambah, selepas segala usaha dilakukan, Islam turut menekankan kepentingan tawakkal kepada Allah melalui doa dan munajat dengan mengembalikan sepenuh kejayaan serta hasil usaha kepada kekuasaan dan kehendak Allah SWT.

Sehubungan itu, katanya, sambutan awal Tahun Baharu 2026 amat wajar disempurnakan dengan menilai kegagalan dan kelemahan tahun lalu, di samping memperbanyakkan doa agar segala perancangan serta usaha pada tahun baharu diterima dan dikurniakan kejayaan oleh Allah.

Dr. Wan Mat turut menyifatkan usaha kerajaan negeri menganjurkan sambutan ambang tahun baharu melalui program munajat dan doa sebagai satu pendekatan murni yang selari dengan nilai Islam, kerana ia meletakkan asas kejayaan bukan semata-mata bergantung kepada usaha manusia, sebaliknya juga kepada kudrat dan iradah Allah Azza wa Jalla.