Rakyat Palestin Di Gaza Bimbang ‘Nyawa Akan Melayang’ Akibat Larangan NGO Israel

192
Ratusan ribu penduduk Gaza tinggal di khemah-khemah tanpa kemudahan asas

Rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Gaza menyatakan kebimbangan tentang ‘kehilangan nyawa’ apabila Israel melarang berpuluh-puluh kumpulan NGO antarabangsa menyediakan bantuan dan perkhidmatan yang selama ini ‘menghidupkan’ wilayah yang musnah itu.

Seorang rakyat Palestin di Khan Younis, Siraj al-Masri berkata, bahawa “tiada alternatif” selain daripada organisasi bantuan yang membantu rakyat Palestin yang terkepung di Gaza.

“Ke mana kita hendak pergi? Kita tiada pendapatan, tiada wang, hanya beberapa pusat perubatan yang tinggal.

“Ini menjadikan situasi ini sangat sukar dan akan membawa kepada bencana kepada mereka yang cedera dan tercedera. Malah orang biasa yang datang mendapatkan rawatan akan menghadapi kesusahan yang teruk.” katanya

Israel sedang berusaha untuk membatalkan lesen 37 NGO antarabangsa, termasuk Doktor Tanpa Sempadan (dikenali dengan inisial Perancisnya MSF) yang di’momokkan’ dengan tuduhan yangt tidak berasas.

Antaranya agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dengan tuduhan yang tidak terbukti berkaitan dengan Hamas.

Israel berkata larangan itu turut dikenakan kepada Majlis Pelarian Norway, CARE International, dan Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa, berpunca daripada peraturan baharu yang mewajibkan organisasi bantuan mendedahkan butiran tentang kakitangan dan kerja mereka.

“Walaupun dengan kehadiran organisasi kemanusiaan, situasi ini sudah tragis,”

“Jika sokongan dan kehadiran mereka disingkirkan, Tuhan sahaja yang tahu apa yang akan berlaku. Ramai kanak-kanak akan mati, dan nyawa akan musnah, dan banyak keluarga akan hancur luluh dengan keputusan ini.” kata seorang lagi penduduk Gaza, Ramzi Abu al-Neel

Oleh itu, pada hari Selasa, menteri-menteri luar dari 10 negara termasuk Kanada, Perancis, Jepun dan United Kingdom mengeluarkan kenyataan bersama yang menggesa Israel untuk memastikan NGO antarabangsa “dapat beroperasi di Gaza dengan cara yang mampan dan boleh diramal”.

“Sebarang percubaan untuk menyekat keupayaan mereka untuk beroperasi tidak boleh diterima. Tanpa mereka, mustahil untuk memenuhi semua keperluan segera pada skala yang diperlukan,” menurut kenyataan media bersama itu.

Walaupun gencatan senjata telah dilaksanakan, Israel terus membunuh rakyat Palestin di Gaza dan mengenakan sekatan ke atas kemasukan bantuan dan barangan asas ke dalam kawasan tersebut, termasuk perumahan sementara.

Dengan sebahagian besar Gaza menjadi runtuhan, lebih daripada satu juta orang telah menghadapi cuaca musim sejuk yang teruk sambil tinggal di khemah sementara.

Justeru, dengan ketiadaan aktiviti ekonomi di tengah-tengah kemusnahan itu, penduduk Gaza masih sangat bergantung pada bantuan antarabangsa.

“Kebanyakan orang bergantung sepenuhnya pada bantuan yang datang daripada organisasi antarabangsa,” kata Abdullah al-Hawajri, seorang Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Khan Younis.

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) juga mengecam langkah Israel, dengan mengatakan ia “mengorbankan lagi operasi kemanusiaan” di Gaza yang dilanda krisis.

Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini berkata keputusan Israel itu menetapkan “preseden berbahaya”.

“Kegagalan untuk menentang percubaan untuk mengawal kerja organisasi bantuan akan menjejaskan lagi prinsip kemanusiaan asas berkecuali, bebas, tidak berat sebelah dan kemanusiaan yang mendasari kerja bantuan di seluruh dunia,” kata Lazzarini dalam satu kenyataan. – sumber AJE