230 Nelayan Terima Bantuan

310

KUALA NERUS — Seramai 230 nelayan di DUN Bukit Tunggal yang terjejas mata pencarian akibat Monsun Timur Laut menerima sumbangan bagi meringankan beban mereka.

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Terengganu, Dato’ Dr Alias Razak berkata, musim Monsun Timur Laut atau lebih dikenali sebagai musim ‘bah’ oleh orang-orang lama merupakan ujian tahunan buat para nelayan yang bergantung sepenuhnya kepada hasil laut sebagai sumber rezeki.

Menurutnya, musim tengkujuh menyebabkan aktiviti ke laut terpaksa dihentikan atau dikurangkan, sekali gus menjejaskan pendapatan dan kelangsungan hidup keluarga nelayan.

“Semoga sedikit sumbangan ini dapat meringankan beban yang ditanggung, di samping memberi kekuatan dan semangat untuk mereka terus bertahan serta mencari rezeki yang halal demi keluarga tercinta,” jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus .

Beliau berkata demikian dalam satu program kebajikan yang diadakan di Dewan Kompleks Tarbiyah At-Taqwa (KOMTAQ), Batu Enam, di sini, semalam.

Dr Alias turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penganjur program, YB LSr. Haji Zaharuddin Zahid, Pusat Khidmat DUN Bukit Tunggal serta semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan program berkenaan.

“InsyaAllah, kebajikan rakyat akan sentiasa menjadi keutamaan,” ujar beliau.