Saidina Ali Sampaikan Perintah Masuhkan ‘Tawaf Jahiliyah’

125

Di masa jahiliyah, ibadah haji dilakukan tetapi pelaksanaannya penuh dengan amalan maksiat, di antaranya saki baki amalan syirik, bertawaf dalam keadaan bertelanjang atau menutup sedikit di bahagian kemaluan.

Pada tahun kesembilan Hijrah, Abu Bakar RA ditugaskan menjadi Amir untuk mengepalai ibadah haji, dikira haji pertama dalam era Islam setelah berhala-berhala khususnya di tanah suci Makkah dimusnahkan.

Dalam masa yang sama Allah SWT mewahyukan Surah Baraah yang membersihkan Makkah dan ibadah hajinya daripada kaum musyrikin dan amalan mereka.

Rasulullah SAW menugaskan Ali Bin Abi Talib KW dengan perintah Allah SWT dan cara yang diketahui oleh orang Arab sejak zaman berzaman agar orang yang menyampaikan perkara penting mewakili pemimpin hendaklah daripada keluarganya yang terdekat.

Imam Al Tirmizi meriwayatkan bahawa Ali KW telah mengumumkan empat perkara:

1. Tidak dibenarkan lagi tawaf dalam keadaan bertelanjang.

2. Mana-mana pihak yang ada mengikat janji dengan Nabi SAW mengikut masa yang ditetapkan dan kepada yang tidak ada perjanjian, diberi tempoh empat bulan.

3. Tidak masuk syurga melainkan orang yang beriman.

4. Orang-orang musyrikin tidak dibenarkan lagi bersama mengerjakan haji selepas tahun ini.

Peristiwa Haji ini yang dikepalai oleh sahabat pertama Abu Bakar Al Siddiq bagi memisahkan haji jahiliah dan menghapuskannya.

Haji ini juga seperti persediaan untuk haji Wada’ (selamat tinggal), perhimpunan besar di bumi Mekah sebelum wafatnya Rasulullah SAW iaitu setelah selesai menunaikan tugas kerasulan akhir zaman.

Kuliah Dhuha Jumaat, 23 Safar 1443.