RM 500 tak cukup untuk tampung kenaikan harga barang!

3135

PAS melihat pemberian khas sempena Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam dari gred 1 hingga 59 tidak mencukupi bagi menampung perbelanjaan yang semakin meningkat, khususnya kepada penjawat awam yang berpangkat rendah.

Harga AyamPesuruhjaya PAS Perak YB Ustaz Abu Bakar Hussian sebaliknya memuji langkah kerajaan Selangor mengumumkan pemberian bonus sebulan gaji kepada kakitangan awam Selangor yang dilihat lebih mesra rakyat.

“Inilah contoh (pemberian negeri Selangor) negeri berkebajikan yang mengutamakan keperluan rakyat………sebagai parti politik yang sentiasa mendasari isu rakyat, PAS melihat kenaikan drastik barang-barang keperluan asas sangat membimbangkan.

“peningkatan harga ayam dan barang-barang keperluan asas yang lain dilihat melampau dan tidak munasabah. Jelaslah kerajaan BN tidak mampu menunaikan Akujanji PRU 13 mereka bagi mengawal harga barang,”ujarnya

Menurut beliau yang juga ADUN Titi Serong, hal ni bukan menjadi mainan mulut masyarakat marhaen sahaja, malahan golongan peniaga kecil juga merasai kesan kenaikan ini.

Katanya, rata-rata peniaga memberitahu keuntungan Ramadhan tahun ini tidak selumayan dulu kerana sebahagian mereka terpaksa menyerap kesan kenaikan harga barang disamping cuba mengekalkan harga lama.

Oleh itu, beliau mempersoalkan keberkesanan peranan yang dimainkan oleh Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Penggunaan yang bertanggungjawab secara langsung dalam perkara berkaitan.

Justeru, kata beliau, PAS khususnya PAS negeri Perak mendesak kerajaan BN supaya melunaskan janji-janji untuk mengawal harga keperluan asas .

“Apa yang penting ialah langkah-langkah mengurangkan beban kenaikan harga barang perlu dilaksanakan segera bagi menghadapi hari raya Aidilfitri yang bakal menjelang,”tegas beliau