Razif-Ahmad Said Berbalas Dendam, Rakyat Jadi Mangsa?

1350

Semalam saya membaca laporan berkenaan Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman mengumumkan yang peruntukan bagi Dun Kijal, tidak lagi akan diberikan kepada wakil rakyatnya yang sah iaitu musuh politiknya yang sama parti Dato’ Seri Ahmad Said (DSAS). Ini berikutan usul undi tidak percaya yang dibawa oleh DSAS dalam sidang Dun baru-baru ini ke atas MB. Beginilah perangai Umno, sebagaimana yang kita tahu, siapa sahaja jadi pemimpin, sama sahaja perangai dan pemikirannya. Oleh sebab itulah Presiden PAS tidak mahu menyokong Najib diturunkan dan digantikan dengan orang Umno juga, kerana sikap dan dasarnya sama sahaja.

Wakil-wakil rakyat PAS telah dianiaya sejak dari dahulu lagi, bukan semenjak DSAS, malah lebih dulu daripada itu, bermula dari Menteri Besar Umno Terengganu yang pertama, sehingga kini, tanpa gagal, mereka akan mendiskriminasikan PAS dalam peruntukan yang sepatutnya Adun PAS dapat untuk diagihkan pembangunannya kepada rakyat. Jadi sama sahaja bagi PAS kalau MB itu dari Umno. Akan tetapi, kes terbaharu MB dan DSAS ini lebih dilihat kepada satu kes yang boleh dikatakan sebagai dendam peribadi. Sebagaimana ketika ucapan penggulungan sidang Dun tempohari, MB berkata “Saya tidak akan berhenti melawan sehingga Allah tentukan yang hayat saya untuk melawan akan tamat” “Biar remuk di gengaman asal tak reput menyembah bumi” “Biar mati berkalang tanah, biar ada yang berpaling tadah, saya tidak akan sekali-kali mengalah”. Begitulah tegarnya dendam MB untuk melawan DSAS. Dan dia sekarang sedang membuktikannya.

Mungkin inilah dia cara MB membalas ‘serangan’ undi tidak percaya DSAS dengan menyekat peruntukan wang rakyat Kijal yang sepatutnya diberikan kepada wakil rakyatnya yang sah. PAS mengambil sikap berkecuali dalam perbalahan dalaman Umno, namun PAS tetap tidak menyokong sebarang usaha yang menjadikan wang rakyat sebagai wang pusaka Umno, walaupun ketidakadilan ini berlaku kepada Umno sendiri. Dan lebih jauh dari itu, sikap negatif kerajaan pimpinan MB ini turut terpalit kepada rakyat. Maka PAS akan masuk campur demi tanggungjawab PAS kepada rakyat. Kerajaan negeri atau pusat, wajib memberikan wang itu kepada wakil rakyat yang sah kerana itulah pilihan rakyat setempat yang mengikut lunas undang-undang yang kerajaan sendiri sediakan. Isu ini mengingatkan saya kepada pelawaan MB kepada PAS bagi menyertai Majlis Perundingan Rakyat (MPR) yang kononnya mahu memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat dengan kerjasama kerajaan dan pembangkang. Tetapi dalam masa yang sama, peruntukan Adun PAS tidak mahu diberikan, masalah tanah rakyat seperti Banggol Donas tidak mahu diselesaikan. Dan sehingga kini juga, kita tidak jelas, bagaimanakah status MPR itu?

Sikap berdendam MB ala filem melayu lama ini dibimbangi akan merebak kepada hal-hal lain dan tidak hanya dalaman Umno sahaja tetapi mungkin lebih jauh daripada itu kepada rakyat yang tidak menyokong beliau.Malah perbalahan dalaman mereka cukup ketara dapat dilihat apabila DSAS, ketika Sidang Dun lalu, dengan terang menyatakan bahawa dalam lebih 40 perkara yang dikatakan sebagai kejayaan Razif, sebahagiannya adalah hasil usaha DSAS ketika menjadi MB dahulu dan lebih dahsyat lagi, ada juga kegagalan yang sengaja dipalitkan kepada nama DSAS. Bunga diambil MB, tahinya diberikan kepada DSAS. Bukankah ini sikap politik kebudak-budakan? Umno mengambil perjalanan politik acuan sekular yang menyebabkan rakyat gelisah. Menyusahkan rakyat dengan perbalahan mereka. Sedang dalam waktu yang sama, peruntukan kepada pelajar-pelajar telah dikurangkan seperti tidak mahu lagi menghantar mereka ke luar negara dan terbaharu berita tentang bantuan kepada orang miskin masih belum sampai kepada penerimanya.

MB sepatutnya mencari kekuatan sendiri dengan menonjolkan kejayaannya sepanjang dua tahun pemerintahannya. Bukan sekadar meluluskan projek persimpangan bertingkat masuk ke kampung beliau, ataupun Bandar Sun City yang dicadangkan di belakang rumah beliau dan meneruskan Projek Bebas Cukai Kenyir. Kerana kita bimbang nanti projek-projek mega inilah maka alasan duit kepada rakyat disekat. Juga bukan caranya dengan MB menunjuk gagah menyekat peruntukan wang rakyat kepada Adun-Adun baik dari PAS ataupun Umno sendiri. Beliau seharusnya insaf bahawa kuasa menjadi pemerintah bukan kuasa yang kekal. Ini yang kita takut dan semua itu kembali kesan negatifnya kepada rakyat. Bak kata orang Terengganu ‘jenih hok senyap gini bahaya’ yang bermaksud, orang pendiam, biasanya lebih ganas tindakan mereka apabila berdendam.

Saya yakin dan percaya kisah ini tidak berakhir di titik ini sahaja kerana DSAS telah mengumumkan akan membuat pendedahan yang ‘lebih mengejutkan’ bila tiba masanya nanti. Perang antara Najib dan DSAS meletus, MB yang jadi orang taruhan Najib dan menjadi perisai untuk PM, dan yang menjadi mangsa perang dendam ini ialah rakyat Terengganu. Oleh itu PAS mengajak semua rakyat mendukung budaya ‘Politik Matang’, tanpa dendam yang akan memberikan kesan yang positif, yang dibawakan PAS, dengan jelas akan membawa kepada kesejahteraan kepada rakyat secara keseluruhannya insyaAllah. Mari kita lupakan politik dendam kebudak-budakan bawaan Umno. Wallahua’lam

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
23 Jamadilakhir 1437 bersamaan 22 Mac 2016