Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Ahmad Shah berkata, PAS tidak dapat memikirkan lagi untuk bersama dengan Umno kerana tidak ada tanda-tanda Umno tidak serius untuk melaksana tadbir urus yang baik.
Sebelum itu, beliau melihat konteks keputusan PRU 13 bukanlah disebabkan tsunami bangsa, tetapi lebih kepada “Tsunami Nilai” yang mana jelasnya pengundi tidak lagi menilai berdasarkan status perkauman.
“Ini bukan tsunami bangsa. Ia lebih kepada tsunami nilai yang mana pengundi tidak memilih berdasarkan warna kulit tapi apa wakil mereka akan perjuangkan dalam Parlimen dan DUN,” katanya
Beliau berkata demikian ketika bercakap selaku panel pada program Wacana Sinar Harian Siri 20; bertajuk Pasca PRU 13: Ke Mana Haluan Politik Melayu di Kompleks Auditorium Karangkraf di Shah Alam pada Rabu 15 Mei. [lihat Video]
Akibat kerajaan sebelum itu tidak ditangani dengan baik oleh pemimpin, rakyat mulai menolak dan memilih pemimpin yang membawa nilai tersebut.
“Nilai-nilai yang berlaku tidak ditangani oleh wakil rakyat sedia ada. Di situlah letaknya kebangkitan rakyat,” tegasnya.
Menyentuh tentang pengaruh PAS dalam rancangan tanah-tanah Felda, menurutnya, walau pun PAS masih belum dapat menembusi sepenuhnya, terdapat perubahan dalam sokongan komuniti Felda.
Katanya halangan utama orang Melayu Felda lambat untuk berubah adalah kerana tekanan kerajaan yang menyebabkan mereka tidak mendapat maklumat dan tindakan sengaja membiarkan mereka terus bergantung kepada kerajaan.
“Felda adalah komuniti yang amat tertekan, mereka sering tidak mendapat yang tepat dan menyeluruh bagaimana pun anak-anak peneroka Felda telah membuka pandangan ibu bapa mereka,
“yang menyedihkan hari ini pihak kerajaan sangat suka orang melayu termasuk orang Felda terlalu bergantung begitu kuat kepada kerajaan sehinggakan mereka begitu susah untuk bergerak sendiri dan berdikari,”katanya.
Beliau turut menjawab soalan yang dikemukakan oleh seorang peserta program yang mempertikaikan keahlian beliau dalam PAS dan menganggap beliau adalah seorang ahli baru yang menyertai PAS tetapi terus bertanding mewakili PAS.
“saya memang muka baru dalam PAS tapi sebenarnya saya telah menjadi ahli PAS hampir 20 tahun, pihak pucuk pimpinan PAS meminta saya bertanding (kerana) ada sebab-sebab tertentu,
“mungkin diatas isu-isu tadbir urus yang baik, seperti kontrak dan tender yang tidak telus yang tidak dipersetujui bukan sahaja di kalangan Pakatan Rakyat tetapi juga di kalangan ahli-ahli Umno,”jelasnya.
Katanya, kerajaan negeri Terengganu adalah contoh sebuah kerajaan yang tidak mengamalkan tadbir urus yang baik sehingga ia digelar sebagai ‘Terengganu Darul Runtuh’.
Walau pun malu untuk memperkatakannya, namun itulah hakikat yang terpaksa diterima kerana menurutnya, kontrak pembinaan di negeri Terengganu tidak telus dan hanya diberikan kepada tiga, empat rang yang sama sahaja.