Hentikan projek mega demi kecemerlangan pendidikan rakyat TerenSaya membaca dan mengikuti dengan serius satu laporan akhbar Utusan Malaysia berkenaan dengan cadangan Pengarah Yayasan Terengganu Haji Mohammad Sulong, untuk menghentikan program penghantaran pelajar-pelajar dari Terengganu ke luar negara atas alasan kekangan kewangan kerajaan negeri yang dikatakan tidak memberangsangkan.
Setelah meneliti ulasan yang diberikan oleh Pengarah Yayasan itu, suka saya mencadangkan kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman agar memberikan tumpuan khusus dan serius kepada permasalahan ini. Kecuali projek kebajikan kepada rakyat seperti projek benteng penahan ombak di Pantai Tok Jembal dan Paka contohnya, kerajaan negeri semestinya meneliti semula projek-projek mega yang menggunakan dana kerajaan negeri yang besar. Projek-projek seperti cadangan membina persimpangan bertingkat masuk ke Seberang Takir, Draw Bridge iaitu laluan keluar masuk Kuala Terengganu-Seberang Takir ataupun projek angan-angan mahu menjadikan Seberang Takir sebagai kawasan pengeluaran petroleum, perlulah ditangguhkan dahulu ataupun dihapuskan terus jika boleh.
Kerajaan negeri sepatutnya menumpukan kepada membuka peluang kecemerlangan pendidikan rakyat Terengganu yang terpilih bagi melahirkan modal insan yang terbaik melalui pendidikan. Tiada gunanya jika mempunyai pelbagai teknologi ataupun kehebatan kemajuan dunia ini jika modal insan gagal kita tingkatkan kualiti dan jumlah mereka. Janganlah hendaknya isu penting seperti pendidikan ini kerajaan berkompromi untuk ditukar ganti dengan projek-projek yang tidak mustahak ketika keadaan kewangan negeri sedang nazak. Janganlah pula ketika tiada wang sebegini kita mula mengeluarkan ayat-ayat ‘standard’ menteri seperti universiti di Malaysia juga tidak kurang hebatnya berbanding universiti luar negara. Kalau benar universiti tempatan sehebat universiti luar negara, kenapa tidak dari dahulu kita hentikan penghantaran pelajar kita ke luar negara dan menumpukan kepada universiti-universiti tempatan?
Tertanya-tanya dalam hati ini, kemanakah wang berbillion-billion yang kerajaan negeri dapat hasil daripada perolehan royalti petroleum sejak tahun 70-an lagi? Bukankah seharusnya ketika “musim kemarau” inilah kita perlu menggunakan simpanan kita itu. Atau tiada langsung simpanan kerajaan negeri? Wallahua’lam.
Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan Pas Terengganu
27 Rabiul Akhir 1437 bersamaan 6 Februari 2016