Oleh : Khalid Abdullah
KEMAMAN – Aktiviti kerohanian seperti bacaan surah Yasin beramai-ramai oleh komuniti penduduk mampu mengeratkan silaturahim sesama mereka.
Timbalan Ketua Muslimat PAS Cawangan Kampung Baru, Kertih Rohana Muda, 50, berkata, majlis seumpama itu juga mampu mengetepikan persengketaan serta perselisihan fahaman ideologi politik masing-masing.
“Hampir setiap minggu ada sahaja undangan diterima daripada penduduk, untuk majlis tahlil atau kesyukuran, bacaan Yasin untuk peperiksaan anak-anak atau ada keluarga si pesakit yang berhajat.
“Undangan yang diterima juga meluas, dari masyarakat sekitar Kemasik dan Kertih termasuk juga jemputan dari pihak sekolah,“ ujarnya.


“Mula bergerak sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, berkembang dari masa ke semasa, sehingga berjaya mengumpul 60 orang ahli kini.
“Kita namakan sebagai Skuad Yasin Rantau Petronas kerana ianya gabungan muslimat dari dua cawangan parti, yang terletak dalam Unit Peti Undi (UPU) Rantau Petronas,” kata beliau selaku ketua skuad tersebut.
Menurut Rohana lagi, Surah Yasin dipilih kerana sejak berzaman menjadi amalan masyarakat Muslim di negara ini membacakan surah ke-36 dalam al-Quran pada setiap malam Jumaat, namun tidak semua menghayati maksud terkandung dalam surah berkenaan.





























