KUALA TERENGGANU – Seluruh kepimpinan, parti komponen dan jentera gabungan Perikatan Nasional(PN) perlu memberi tumpuan penuh kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas rundingan kerusi berjaya dimuktamad..
Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan watikah pelantikan calon-calon PN bagi menghadapi PRN Johor juga telah ditandatangani, sekali gus menandakan bermulanya gerak kerja pilihan raya secara menyeluruh.
“Fokus utama PN ketika ini adalah menawarkan kepimpinan berintegriti, dasar yang membela rakyat serta membawa harapan baharu demi kesejahteraan rakyat Johor,” tegasnya.
Dalam masa sama, beliau mengambil maklum kenyataan media yang dikeluarkan oleh Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia pada 23 Jun lalu berhubung beberapa perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN.
“PN adalah sebuah gabungan politik yang bergerak berdasarkan Perlembagaan, disiplin organisasi dan keputusan bersama.
“Setiap parti anggota mempunyai ruang sepenuhnya untuk menyuarakan pandangan, mengemukakan bantahan serta mempertahankan pendirian masing-masing dalam mesyuarat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa setiap keputusan yang telah dipersetujui melalui mekanisme rasmi gabungan wajib dihormati oleh semua pihak.
“PN tidak boleh dijadikan medan untuk mana-mana parti memilih keputusan yang mahu diterima dan mempertikaikan ketetapan yang tidak selari dengan pendirian mereka,” tegas beliau.
Samsuri turut melahirkan rasa kesal apabila perkara-perkara dalaman gabungan dibawa ke ruang awam selepas mesyuarat selesai, kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan semangat kebersamaan yang menjadi asas kekuatan PN.
” Isu penggunaan simbol PN dalam PRN Johor, beliau menegaskan bahawa simbol gabungan itu bukan sekadar lambang politik, sebaliknya hadir bersama tanggungjawab yang besar,
“mana-mana parti yang diberikan amanah bertanding menggunakan simbol PN perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pemilihan calon, pengurusan kempen, gerak kerja pilihan raya serta prestasi kerusi yang ditandingi,” jelasnya lagi.





























