KUALA TERENGGANU– Perikatan Nasional (PN) bersetuju menerima Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG) dan Parti Cinta Malaysia (PCM) sebagai parti anggota baharu gabungan itu.
Keputusan tersebut dibuat dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional yang berlangsung pada Isnin dan dipengerusikan oleh Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan selepas mesyuarat berkenaan, permohonan kedua-dua parti tersebut telah diluluskan sekali gus memperkukuhkan lagi kedudukan dan kekuatan PN sebagai sebuah gabungan politik nasional.
“Mesyuarat bersetuju untuk memuktamadkan agihan kerusi di negeri Johor melalui Jawatankuasa Rundingan Kerusi dalam tempoh terdekat,” jelasnya.
Perkembangan itu dilihat sebagai langkah strategik PN dalam memperluaskan sokongan politik serta memperkukuhkan kerjasama antara parti-parti komponen menjelang PRN Johor.






























