PM Diancam? Kenyataan ‘Alarmist’ Yang Pelik Dan Lucu

153

PAS mendapati kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau dikatakan “diancam” berikutan kritikannya terhadap kerajaan Israel dalam isu perang di Gaza sebagai pelik, malah melucukan.

Perdana Menteri Anwar telah membuat dakwaan tersebut dalam himpunan solidariti bersama rakyat Palestin beberapa hari lepas dengan berkata ancaman tersebut diterimanya dalam bentuk “kenyataan-kenyataan” yang dibuat oleh Ahli Parlimen negara-negara Eropah.

Malangnya apabila didesak oleh media supaya menjelaskan dakwaan itu, beliau enggan berbuat demikian, sebaliknya berkata kerajaan akan mengeluarkan kenyataan media mengenainya.

Pendirian tegas Malaysia menyokong perjuangan rakyat Palestin dan mengkritik Israel sudah diketahui umum dan bukanlah berita baharu.

Perdana Menteri terdahulu, baik Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahupun Dato’ Sri Ismail Sabri diketahui sangat lantang dalam isu ini, namun tiada pula mereka dilaporkan “diancam” berkait ketegasan dan kelantangan itu.Malah Malaysia juga mempunyai hubungan rasmi dengan kerajaan Palestin dan juga Hamas di bawah kepimpinan sebelum ini.

Jadi kenapa pula PM Anwar tiba-tiba “diancam” dan ancaman itu pula adalah
dalam bentuk “kenyataan-kenyataan” yang dibuat oleh Ahli-ahli Parlimen?

Sekiranya “ancaman” yang dimaksudkan itu benar-benar wujud dan berlaku, bukankah sebagai ketua kerajaan, langkah wajar yang perlu diambil oleh Perdana Menteri ialah dengan memanggil duta atau wakil negara terbabit bagi menyampaikan bantahan Malaysia terhadapnya, bukan membuat kenyataan
terbuka tanpa penjelasan mengenainya.

PAS percaya kenyataan “alarmist” sebegini yang bertujuan untuk menonjolkan “kehebatan” dan “kepentingan” Perdana Menteri sudah menjadi ciri kekal pentadbirannya yang sehingga kini masih terkial-kial dalam mendapatkan sokongan dan kepercayaan awam.

Lebih malang lagi, dakwaan itu dibuat dalam acara yang sepatutnya didedikasikan sepenuhnya kepada perjuangan rakyat Palestin, bukan menunggangnya untuk menunjukkan “kehebatan” seseorang pemimpin.

Selain itu ia juga boleh pula menimbulkan imej tidak positif terhadap negara kerana Perdana Menteri membuat “dakwaan rambang dan khayalan”sedemikian.

Sekian.

TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh: 26 Oktober 2023.