Pindah Fungsi SPR Hanya Dalih Alih perhatian

858

Setiausaha Agung Parti Islam SeMalaysia (PAS), Datuk Mustafa Ali, mendakwa cadangan yang dibuat itu merupakan satu cubaan mengubah persepsi rakyat mengenai dakwaan wujudnya penipuan pada pilihan raya lalu.

“Selesaikan dahulu isu penipuan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, Datuk Mustafa enggan mengulas sama ada pembangkang akan memboikot panel tersebut atau tidak, lapor mStar Online.

Sebelum ini, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengumumkan kerajaan akan memindahkan fungsi dan kawal selia SPR kepada satu jawatankuasa khas, yang diwakili ahli Parlimen semua parti politik, sama ada kerajaan atau pembangkang, sebagai langkah memperkukuhkan kewibawaan serta kredibiliti badan itu.

Sementara itu, mengulas seruan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, supaya semua pihak menerima keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang turut menghadiri mesyuarat itu berkata walaupun beliau menghargai kebimbangan yang disuarakan Agong, beliau bagaimanapun mendakwa ucapan itu ditulis oleh Kerajaan Persekutuan.

“Ucapan Agong itu biasanya ditulis oleh Jabatan Perdana Menteri dan ditapis sendiri oleh Perdana Menteri untuk pertimbangan Agong. Kami sedang mempertimbangkan untuk menulis surat kepada Agong bagi menjelaskan pandangan kami,” kata Datuk Seri Anwar.