Oleh : Nooreni Abu Bakar
DUNGUN – PAS akan terus menyertai pilihan raya kerana ia adalah kaedah yang terbaik dan cara yang dipersetujui oleh rakyat untuk memilih kerajaan.
Ahli Parlimen Dungun Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli berkata, sejak PAS ditubuhkan pada tahun 1951, ia menyertai pilihan raya umum yang pertama tahun 1955, sehingga pilihan raya kali-13 yang lalu dan kekal dengan dasar itu sampai ke hari ini.
“Kita dapati cara untuk mengambilalih kuasa kerajaan di dunia hari ini ada tiga cara, samada rampasan kuasa, pilihanraya dan rakyat turun di jalan raya,
“PAS memilih yang kedua, kita menyertai pilihanraya sejak tahun 1955 daripada ditubuhkan tahun 1951 sehingga hari ini, kita menyertai pilihanraya kerana kita percaya, apabila kita menyampaikan maklumat yang sebenar, rakyat akan bersedia untuk memilih yang memperjuangkan Islam untuk menjadi kerajaan,”jelas beliau.
Yang DiPertua PAS Kawasan Dungun itu berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka DUN Rantau Abang dan Parlimen Dungun yang diadakan di Markas PAS Balai Besar, dekat sini pada Sabtu 16 Julai.
Mengulas perkembangan semasa kejadian cubaan rampasan kuasa yang berlaku di negara Turki, menurut Ustaz Wan Hassan, rakyat telah bergadai nyawa turun ke jalan-jalan raya, menentang pasukan tentera yang ‘membelot’.
“Dan kita semalam (Jumaat), rampasan kuasa tentera di Turki tetapi rakyat turun untuk mengagalkan rampasan kuasa menyelamatkan kerajaan Islam di Turki,”jelas beliau di majlis yang dihadiri lebih kurang 5000 orang tetamu daripada berbagai lapisan masyarakat.
ADUN Rantau Abang, YB Cikgu Alias Harun telah meraikan tetamu-tetamu di majlis yang sepatutnya bermula 11 pagi itu, tetapi telah dikunjungi oleh orangramai seawal 10 pagi lagi.











