MARANG – Muslimah muda( Ameerah) perlu memperkukuh iman, ilmu, akhlak dan gerak kerja berjemaah bagi membina ummah sejahtera serta menyumbang kepada masyarakat.
Pengarah Ameerah Terengganu, Ustazah Sumaiyah Zakaria berkata, kemenangan dalam perjuangan menuntut pembinaan kekuatan rohani, pelaksanaan konsep berjemaah berteraskan Islam yang syumul serta persediaan kekuatan lahiriah mengikut kemampuan masing-masing dengan penuh keikhlasan.
“Muslimah muda perlu membina kekuatan rohani, menguasai ilmu dan memperkukuh akhlak, di samping melaksanakan gerak kerja secara berjemaah dengan penuh keikhlasan. Semua ini penting dalam usaha membina kekuatan ummah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Himpunan Ameerah (HAMRA) Peringkat Kawasan Marang di Dewan Sivik Bukit Payong, di sini, pada 24 Oktober, di Dewan Sivik Bukit Payong di sini..
Dalam pada itu, beliau menyeru wanita muda agar tidak berasa takut atau segan untuk menyertai Ameerah kerana platform tersebut menyediakan pelbagai pengisian pembangunan diri serta membuka ruang kepada mereka untuk mengemukakan pandangan dan cadangan.
“Jangan takut atau segan untuk menyertai Ameerah. Wanita muda mempunyai potensi yang besar dan perlu diberikan ruang untuk mengembangkan kemampuan diri serta bersama-sama menyumbang kepada gerakan Islam,” katanya.
Dalam program yang sama, beliau turut merasmikan Usrah AKIFI Ameerah Marang yang akan digerakkan mengikut DUN dengan melibatkan wanita muda, pimpinan Ameerah DUN dan cawangan, isteri Pemuda PAS serta guru-guru PASTI dalam kawasan Marang.
“Usaha itu juga diharapkan dapat melahirkan muslimah muda yang seimbang dari segi rohani, ilmu dan akhlak, sekali gus mampu memainkan peranan lebih berkesan dalam membina keluarga harmoni, masyarakat sejahtera dan ummah yang teguh berlandaskan ajaran Islam,” jelasnya.









