Pertahankan Kampung Tradisi Melayu

1448

KUALA TERENGGANU – PAS menyeru semua rakyat mempertahankan semua perkampungan tradisi orang Melayu termasuk Kampung Banggol Donas yang ‘bakal lenyap’ akibat pembangunan yang merampas dan menjejaskan hak serta kepentingan rakyat.

Keempat wakil rakyat PAS, tiga Ahli Dewa Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen PAS bagi Kawasan Kuala Nerus bersepakat tidak menentang atau menghalang mana-mana pembangunan yang mendapat persetujuan penduduk dan menguntungkan Melayu Islam tetapi ‘mengutuk keras’ sebarang projek sebaliknya.

“Kita (PAS) tidak menentang atau menghalang pembangunan dan kita juga bukan anti pembangunan. Tetapi, biarlah pembangunan dan kemajuan itu kita (pihak berkuasa) mendapat persetujuan kedua-dua pihak.

pertahan kampug tradisi1“Kita (PAS) langsung tidak halang (pembangunan) dibuat di tempat-tempat lain kerana ia (kemajuan) tidak menjejaskan kehidupan dan hak rakyat setempat,” jelas Timbalan Pesuruhjaya III PAS, Dr. Alias Razak.

Beliau yang juga ADUN Bukit Tunggal mewakili rakan-rakan ADUN Teluk Pasu Ustaz Ridzuan Hashim, ADUN Tepoh Ustaz Hishamuddin Abdul Karim dan Ustaz Dr. Khairuddin Aman Razali Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Kata Dr Alias, kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu bertindak melanggar peraturan dalam pengambilan balik tanah rakyat sejak dari awal perancangannya.

“Isu ini bukan baru tapi telah lama sejak Januari 2008 dan kerajaan meneruskan pengambilan balik tanah di Kampung Banggol Donas dengan tidak ikut prosedur dan peraturan.

“Ini perkampungan tradisi orang Melayu yang wajar dipertahankan dan kerajaan sebenarnya ada pilihan dan jalan alternatif untuk tidak menjejaskan hak rakyat.

“Kita telah kaji dan selidiki, di sebelah kampung ini ada tanah kosong atau tanah padi terbiar sejak puluhan tahun dan boleh dilencungkan tanpa melibatkan tanah penduduk orang Melayu,” ujarnya.

Justeru itu, beliau mempersoalkan kepimpinan Umno yang selama ini lantang bersuara memperjuangkan hak orang Melayu, sebaliknya bertindak ‘merampas’ di kampung tersebut.

“Kenapa kerajaan di bawah Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said begitu ‘keras hati’sangat dan tidak boleh bertolak ansur dengan rakyat dia sendiri.

“Kerajaan sepatutnya, menimbang kembali bantahan dan memorandum rakyat itu dan jika kerajaan hendak buat (ubah) masih belum terlambat lagi demi kepentingan rakyat dan orang Melayu,” tegasnya.