‘Permata’ yang Dilupakan??

937

Oleh; Syed Hussain Solahuddin

Aku membelek buku ‘PAS 60 tahun’. Menguras tenaga menghadam buku-buku seperti ini, mungkin juga aku anak muda yang sungguh dahaga mengenai asal usul perjuangan yang aku gabungkan ini. Bukannya apa, ini sebagai langkah sesekali untuk aku melihat ‘side mirror’ dalam membawa gerabak perjuangan yang meluru laju ke hadapan.

Seusai menghadam buku ini, mataku singgah sekejap memerhati dan menghayati wajah kepimpinan PAS yang bersilih ganti. Sungguh besar pengorbanan mereka, getus hatiku. Entah mengapa, ada sayu yang halus hinggap di mata. Kesenangan kerja-kerja PAS yang kami bawa pada hari ini hanyalah menyambung legasi golongan awal. Mungkin juga, ia tidaklah seperit dan mencabar dengan apa yang telah dihadapi oleh mereka yang membanting tulang di permulaannya dan kerja yang paling dekat dihatiku adalah PASTI.

PASTI, sebagai tempat kami menghantar anak. Di situlah kami melihat anak kami dididik dengan thaqafah Islam dengan harapan suatu hari nanti mereka mengerti akan perlunya mereka ini bersama PAS untuk memandaikan rakyat. Aku juga berharap setiap anak ahli parti sentiasa dididik dengan sistem pendidikan Islam dengan harapan hancurnya sistem pendidikan sekular yang hari ini masih mendapat tempat di Malaysia.

Aku kadangkala gatal sedikit bertanya siapakah arkitek PASTI? Kagumku bukan main kepalang. Aku tidak menyangka sosok yang sudah meningkat usianya sehingga ke hari ini masih bertaburan jasanya. Itulah Ustaz Abu Bakar Chik yang biasa dikenali dengan Ustaz Kar. Ustaz Kar yang pernah ditulis oleh Sayuti Omar sebagai ‘Ibnu Batuttah’ yang bekerja keras membangunkan tiang-tiang panji PAS.

Aku kenangi Ustaz Kar sebagai ahli yang istiqamah dan sentiasa bekerja keras. Teringat peristiwa Ustaz Kar ditahan dibawah ISA tahun 1984. Detik-detik yang mendekam insan ini ke penjara yang tiada berhati perut. Waktu itu sudah berlalu, samada kita sempat melihat kejadian semalam atau tidak, satu hari nanti kita akan terkenang kembali dan mengerti mengapa semua itu terjadi.

UST FADHIL MUSTAPA ALI ABU BAKAR CHIK

Diluar duniamu wahai sahabat,
disana dia lebih awal bermandi tembakan gas pemedih mata,
Berlari dikejar jatuh dipukul cota si zalim,
Dia wahai sahabat, bersama ribuan yang lain bertakbir dan melaung,
Kalimah yang indah dan padu ke langit kebebasan,
Tiada lagi takut gentar dan resah,
Kerana percaya kebebasan itu milik kita juga milik-Nya,

Dia wahai sahabat, kembali ke tanah air ini,
Membawa semangat dan harapan,
Untuk bumi yang dahagakan seorang wira,
Yang mendendang kembali lagu semangat pahlawan kita,
Yang dulu kita kenal dalam lipatan sejarah,

Dia wahai sahabat, tanpa alasan dan sebab,
Digari dibawa lari ke mahkamah tiada keadilan,
Agar perjuangannya selesai disitu, sangka mereka,
Namun ku lihat, langkahnya tetap gagah bersemangat waja,
Untukmu wahai sahabat agar terus berbangga,
Bahwa aku ada seorang pimpinan,
yang tetap setia bersamamu, kami semua dan perjuangannya,

Ketika kelibatnya jauh semakin dekat, aku tunjukkan engkau,
Itulah Ustaz Kar, permata yang dilupakan??.