Pejuang-pejuang sekular teramat rugi kerana mereka tidak mempunyai kitab untuk mereka tadarus. Jika mereka tadarus Al Quran sekalipun, kitab itu tidak mereka jadikan sebagai dasar. Sebab itu menjadi seorang pejuang Islam benar-benar suatu tuah yang diberikan oleh Allah Taala.
Ramadhan mengajar kita untuk cakna kepada orang yang tidak berkemampuan. Allah Taala menciptakan di dunia ini orang-orang kurang berkemampuan untuk menjadi ujian kepada orang-orang yang mampu. Di akhirat nanti akan ditanya, setakat mana orang-orang yang mampu ini menghulurkan bantuan kepada orang-orang yang kurang mampu. Sebab itu saudara-saudara kita yang kurang mampu sedikit untung sebab terlepas soalan ini di akhirat nanti.
Manakala yang berkemampuan perlu pastikan duit kita pada hari ini kita peruntukan untuk beli pahala selain beli pakaian, laut pauk, beras dan keperluan hidup. Bila kita membeli belah di kedai, kita tukar duit dengan barang, sebab itu kita tidak sayang belanjakan duit kerana nampak barang di depan mata. Namun sedarkah kita bila kita laburkan duit untuk kebaikan, seperti kita beli pahala dengan duit kita. Walaupun pahala ini benda tak nampak, tapi itulah saham kita di akhirat.
Sahabat-sahabat Nabi Radiallahuanhum, juga hadir dari pelbagai latar belakang. Antara mereka golonggan Ahlus Suffah yang tak memiliki apa-apa. Menjadikan bilik-bilik berhampiran Masjid Nabi di Madinah sebagai tempat tinggal. Antaranya Abu Hurairah r.a. sahabat Nabi yang banyak meriwayatkan hadis, Tetapi kekurangan dan kemiskinan tidak sama sekali dijadikan alasan untuk meminggirkan diri dari perjuangan. Mereka adalah pejuang-pejuang saf hadapan di medan jihad, hafal Al Quran serta tinggi ilmu pengetahuan.
Ada Sahabat yang dianugerahkan kekayaan seperti Uthman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf radiallahuanhuma. Kekayaan mereka berdua adalah rahmat bagi golongan fakir dan miskin. Sungguh murni ajaran agama Allah. Islam telah mengajar kita, rezeki yang mengalir ke kantung kita, bukan milik kita seorang. Ianya juga adalah milik orang lain yang diamanahkan melalui poket kita. Dari sinilah lahirlah sebuah masyarakat yang hebat, penuh rahmat dan kasih sayang antara sesama hamba Allah.
Tanggungjawab sesama saudara seagama sebenarnya masih terlalu banyak yang belum kita lunaskan. Kerana itulah, ada teguran dicatatkan oleh Dr Yusof Qaradhawy di dalam bukunya ‘Fiqh Al-Awlawiyyat’ tentang sikap sebahagian kaum Muslimin yang tidak diragui keikhlasan mereka dalam beramal, tetapi rapuhnya penilaian mereka dalam bab keutamaan.
Antaranya ditegur tentang sikap sebahagian Muslimin yang tergolong kaya, mampu menunaikan haji untuk kali yang kedua, ketiga dan seterusnya. Tetapi apabila diajukan kepada mereka, alangkah baiknya sekiranya dana dan perbelanjaan yang digunakan untuk menunaikan ibadat sunat itu disalurkan untuk sesuatu yang lebih penting dan mendesak seperti urusan kebajikan anak-anak yatim, tabung untuk para mujahidin yang berjuang di jalan Allah, membantu ummat Islam yang sedang teraniaya seperti di Rohingya, usaha menghadapi gerakan kristianisasi di wilayah-wilayah ummat Islam seperti Indonesia, Bangladesh dan Afrika ataupun dana untuk usaha-usaha penyusunan buku-buku dan terjemahan bagi melahirkan ummat Islam yang berpengetahuan, pasti kebanyakkan mereka akan menoleh ke arah lain dan tidak bersetuju dengan cadangan-cadangan tersebut.
Apatah lagi ibadat haji dan umrah yang mereka kerjakan untuk kali kedua dan ketiga adalah tergolong sunnah bukan wajib lagi tetapi tugas menegakkan agama Allah, memerangi orang-orang kafir yang menceroboh dan mencabul hak-hak dan kehormatan kaum Muslimin adalah tugas yang telah difardhukan dan ditetapkan oleh Syariat Islam. Lebih-lebih lagi di saat kaum Muslimin berhadapan dengan bahaya kehancuran kerohanian dan kebendaan.
Paling dekat dengan kita… seorang sahabat dari Selatan Thai ada memaklumkan, konflik yang berpanjangan di sana telah meninggalkan kira-kira 3,600 anak yatim piatu yang memerlukan pembelaan.
Di Indonesia, gerakan Kristianisasi begitu deras dan lancar dengan dana dan sumber kewangan yang cukup besar dari pertubuhan-pertubuhan Kristian antarabangsa. Sementara kaum Muslimin sangat-sangat memerlukan bantuan kewangan dan seumpamanya untuk mendirikan pusat-pusat dakwah dan pengajian Islam bagi menghadapi arus Kristianisasi yang sangat deras itu.
Apabila individu Muslim meninggalkan tugas dan kewajipan yang mesti dilakukan, lantas kepada siapakah lagi maslahah dan kepentingan kaum Muslimin hendak diserahkan?

























