Lajnah Kebajikan dan Kemasyrakatan PAS Pusat merakamkan rasa simpati dan kesedihan yang amat mendalam atas pemergian Dr Nurul Huda Ahmad. Meninggal dunia dalam kemalangan yang tragis ketika dalam perjalanan pulang dari Hospital Universiti Sains Malaysia ke Marang Terengganu setelah menghabiskan tugas ‘oncall’ di hospital. Masyarakat dan negara kehilangan seorang bakal pakar kanak-kanak yang telah berada ditahun ketiga pengajian Sarjana Perubatan. Lebih memilukan bila memandang kepada tiga anak kecil berusia antara 2-8 tahun yang ditinggalkan ibu buat selamanya.
Cara terbaik untuk ‘membela’ pemergian Dr Nurul Huda ialah dengan mewujudkan satu Garis Panduan Amalan berkaitan ‘Hours of work’ (jumlah jam kerja), shift work and rostering hospital doctor (jadual dan giliran tugasan doktor di hospital) yang memberikan penyelesaian yang praktikal untuk menguruskan sindrom keletihan melampau akibat jam kerja yang lama serta meminimakan risiko yang mungkin berlaku akibat keletihan, antaranya kecelakaan jalan raya ketika memandu pulang selepas bertugas. Garis panduan ini perlu diguna pakai untuk semua samada Doktor Pakar, Pegawai Perubatan termasuk juga Pegawai Perubatan Siswazah.
Ini penting bagi memastikan kesihatan dan keselamatan pekerja kesihatan terjamin.
Saya setuju jika semua Pegawai Perubatan dan Doktor Pakar yang selesai oncall (postcall) 24 jam, mendapat sehari cuti secara automatik atau paling kurang setengah hari off.
Ada sesetengah hospital yang sedia memberikan postcall bekerja hingga jam 12 tengah hari tetapi peraturan ini tidak diseragamkan dan ianya bergantung kepada budi bicara Pengarah Hospital.
Kena ada perubahan dasar dan bukannya penyelesaian sementara. Untuk buat perubahan dasar, mereka yang berautoriti mesti mengemukan satu garis penyelesaian dan polisi yang meyakinkan.
Kita akui bahawa keperluan tugasan oncall bergantung kepada justifikasi, tenaga pekerja dan aktiviti harian serta mingguan sesebuah jabatan di hospital terbabit. Cabaran Pegawai Perubatan bukan hanya terhadap risiko sebegini tetapi memikul harapan tinggi rakyat kepada institusi perubatan dan kesihatan.
Bagi seorang ibu dan isteri yang berkerjaya doktor seperti Almarhumah Dr Nurul Huda, adakalanya mereka korbankan kesihatan dan keselamatan diri semata-mata kerana keluarga. Hati ibu yang dah beberapa hari terpisah dengan anak-anak semestinya rasa kerinduan kepada anak-anak itu mengatasi segalanya sehingga mengambil risiko untuk memandu pulang juga walaupun badan keletihan. Saat yang paling berharga dan bahagia bagi seorang ibu dan isteri adalah berada bersama anak-anak dan keluarga tersayang.
Semoga Allah merahmati dan mengampuni Almarhumah Dr Nurul Huda serta rakan sejawat yang telah pergi ketika menggalas tugas yang sangat mulia ini.
Dr Azman Ibrahim
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Timbalan Pengerusi Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat
12 Mei 2017