Terengganu, Malaysia
Berita

PASTI Terengganu Serlahkan Bakat

PASTI Terengganu Serlahkan Bakat

KUALA TERENGGANU – Kejayaan meraih tempat ketiga dalam pertandingan pengucapan Bahasa Inggeris peringkat antarabangsa membuktikan murid Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Terengganu berupaya menyerlahkan bakat dan bersaing di luar negara sejak usia awal.

Murid PASTI Al-Amin, Kijal, Kemaman, Mareena Qaisara Ayob mencipta kejayaan itu menerusi penyertaannya dalam 87th GASCA International English Recitation Competition 2026 bagi kategori Group C Early Child.

Pengarah PASTI Terengganu, Fauzi Mahammad berkata, kejayaan tersebut amat membanggakan kerana Qaisara bukan sahaja berjaya mengharumkan nama PASTI dan negeri Terengganu, malah membuktikan potensi besar anak-anak didikan institusi itu.

Menurutnya, pencapaian berkenaan bukan kejayaan pertama Qaisara apabila kanak-kanak itu turut dinobatkan sebagai Johan Pidato Alam Ria PASTI Malaysia 2026 yang berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak pada 10 Oktober lalu.

Lebih menarik, Qaisara turut aktif dalam bidang kokurikulum apabila terpilih menyertai Pasukan Bola Jaring PASTI Negeri Terengganu ke Kejohanan Bola Sepak dan Bola Jaring PASTI Malaysia di Negeri Sembilan pada 19 Julai 2026.

PASTI Terengganu Serlahkan Bakat

“Bagi kami, pencapaian ini membuktikan bahawa anak-anak PASTI mempunyai potensi yang besar apabila bakat mereka dicungkil, diasuh dan diberikan peluang sejak usia awal.

“PASTI bukan sahaja memberikan penekanan kepada pendidikan Al-Quran dan asas akademik, malah turut membangunkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi, kepimpinan serta kecergasan fizikal murid melalui pelbagai aktiviti dan pertandingan,” jelasnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini.

Tambahnya, kejayaan itu turut didorong sokongan ibu bapa, bimbingan guru dan komitmen warga PASTI dalam membangunkan potensi setiap murid.

Pertandingan GASCA yang dianjurkan secara dalam talian oleh Global Arts, Sports and Culture Association (GASCA) yang berpusat di Hong Kong itu membuka peluang kepada murid untuk menguji kebolehan dan bakat dalam persaingan antarabangsa.

Justeru itu, beliau berharap kejayaan Qaisara menjadi inspirasi kepada lebih ramai murid PASTI untuk berani mencuba, mengembangkan bakat dan membawa nama Terengganu ke peringkat lebih tinggi.

“Kecil usia, besar potensinya. Anak PASTI mampu mencipta kejayaan hingga ke pentas antarabangsa,” tambah beliau.

Selain kecemerlangan dalam bidang bahasa dan komunikasi, Qaisara juga aktif dalam bidang kokurikulum apabila terpilih sebagai anggota Pasukan Bola Jaring PASTI Negeri Terengganu yang menyertai Kejohanan Bola Sepak dan Bola Jaring PASTI Malaysia di Negeri Sembilan pada 19 Julai 2026

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan