PAS Timbang Tindakan Undang-undang, Gerakan Rakyat Tolak ART

65

KUALA TERENGGANU – PAS sedang meneliti langkah undang-undang dan gerakan massa bagi membantah perjanjian Malaysia–US Agreement on Reciprocal Trade (ART) yang disifatkan berisiko menjejaskan kedaulatan negara.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, parti itu tidak menolak kemungkinan memfailkan semakan kehakiman (judicial review) sekiranya terdapat elemen yang boleh menggugat kepentingan negara dalam perjanjian tersebut.

“PAS akan menganjurkan forum terbuka yang menghimpunkan tenaga profesional serta ahli akademik bagi membincangkan kesan dan implikasi perjanjian ART

“Menggerakkan Himpunan Mega “Turun Anwar 2.0” sebagai manifestasi suara rakyat mempertahankan kedaulatan negara,” jelasnya dalam kenyataan semalam.

Justeru itu, beliau turut menyeru seluruh rakyat agar berwaspada terhadap sebarang bentuk penjajahan ekonomi baharu yang disalurkan atas nama perdagangan dan digitalisasi.

“Rakyat terus peka dan bersatu mempertahankan maruah serta kedaulatan negara agar tidak sewenang-wenangnya digadaikan atas nama perdagangan atau digitalisasi,” tegasnya.

Beliau menambah, perjanjian ART antara Malaysia dan Amerika Syarikat kini mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk daripada pakar undang-undang dan akademik yang mempersoalkan kesannya terhadap dasar ekonomi serta kuasa autonomi negara.