Serah ‘Kuasa Halal’ Kepada AS Gugat Kedaulatan Islam

441

KUALA TERENGGANU – Dewan Ulamak PAS Pusat menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap tindakan kerajaan yang dilapor bersetuju menyerahkan urusan pengiktirafan pensijilan halal kepada badan halal Amerika Syarikat (AS) melalui Agreement on Reciprocal Trade (ART) antara Malaysia dan AS yang ditandatangani pada 26 Oktober lalu.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, YB Ustaz Dato’ Haji Mohd Nor Hamzah, berkata langkah itu disifatkan sebagai menggadaikan kedaulatan sistem halal Malaysia yang selama ini diiktiraf antara terbaik dan paling komprehensif di dunia.

Katanya, peruntukan di bawah Artikel 2.9 Lampiran III perjanjian itu yang menyatakan Malaysia mesti membenarkan mana-mana badan halal AS yang diluluskan oleh JAKIM untuk mengesahkan produk halal “tanpa keperluan tambahan” menimbulkan persoalan besar terhadap kuasa penguatkuasaan dan semakan syariah oleh pihak berautoriti agama.

“Frasa itu seolah-olah mengikat tangan JAKIM dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) daripada menjalankan semakan tambahan, sekali gus membuka ruang campur tangan luar terhadap urusan agama Islam di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, sistem halal Malaysia yang dibangunkan di bawah Akta Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 [Akta 739] dan Standard Halal Kebangsaan (MS 1500:2019) kini menjadi rujukan global, dengan 84 badan halal luar negara diiktiraf daripada 46 negara.

Namun Bendahari PAS Terengganu itu menegaskan, sistem halal di AS tidak seragam kerana terdapat puluhan organisasi bebas dengan piawaian berbeza, malah ada yang pernah terlibat dengan skandal penyalahgunaan label halal seperti kes “Midamar Corporation” di Iowa pada 2011.

“Pensijilan halal bukan isu teknikal perdagangan semata-mata tetapi melibatkan akidah dan pematuhan syariah.

“Sebarang kelonggaran dalam kawalan halal boleh menjejaskan keyakinan umat Islam terhadap kehalalan produk di pasaran,” tegasnya.

Dewan Ulamak PAS Pusat turut mencadangkan kerajaan merundingkan semula perjanjian ART bagi memastikan kedaulatan syariah tidak dikompromi, menubuhkan Jawatankuasa Fatwa dan Pemantauan Halal Antarabangsa serta menggubal Pelan Tindakan Pertahanan Halal Nasional bagi memperkukuh piawaian dan penguatkuasaan halal negara.

“Pensijilan halal adalah lambang maruah Islam dan kedaulatan umat. Allah SWT berfirman bahawa orang kafir tidak boleh diberi jalan untuk menguasai orang beriman.

“Maka menyerahkan kuasa halal kepada pihak luar tanpa kawalan syariah yang ketat adalah bertentangan dengan prinsip Islam,” katanya.

Justeru itu, beliau menyeru seluruh umat Islam agar mempertahankan integriti sistem halal Malaysia sebagai simbol izzah (kemuliaan) dan kedaulatan agama negara ini.