PAS Terengganu Perkukuh Jentera, Sasar Ulang Kemenangan Pilihan Raya

128

KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu menegaskan bahawa persiapan menghadapi pilihan raya telah dilakukan secara menyeluruh melibatkan kekuatan jentera, kewangan dan kerjasama politik bersama rakan gabungan.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Haji Husain Awang berkata, pelbagai langkah persediaan telah diambil lebih awal bagi memastikan kelangsungan kecemerlangan parti seperti yang dicapai dalam Pilihan Raya Umum ke-14 dan ke-15 yang lalu.

Katanya, semua jentera parti kini berada dalam keadaan bersedia dengan kelengkapan yang mencukupi berdasarkan kemampuan dan keperluan semasa.

“Persediaan ini melibatkan pelbagai aspek termasuk pengukuhan organisasi, keupayaan kewangan dan penyelarasan gerak kerja bersama rakan kerjasama politik,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas Majlis Hari Raya Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT), di sini, semalam.

Dalam pada itu, PAS Terengganu optimis bahawa kesiapsiagaan yang rapi akan menjadi asas kukuh untuk mempertahankan kemenangan serta memperkukuh kedudukan parti dalam pilihan raya akan datang.

Sementara itu, jentera penerangan PAS Terengganu kini memberi tumpuan utama kepada usaha menyelaras penyampaian maklumat yang tepat dan menangkis sebarang bentuk fitnah dan persepsi negatif terhadap parti dan kerajaan negeri.

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Harun Isa berkata, seluruh tenaga penerangan telah bersiap siaga bagi memastikan rakyat menerima maklumat yang sahih dan tidak terpengaruh dengan berita yang tidak benar.

Menurut beliau, cabaran utama ketika ini bukan sahaja berkaitan persediaan pilihan raya, tetapi juga berdepan dengan penyebaran maklumat tidak tepat yang boleh mengelirukan rakyat.

“Semua tenaga penerangan bersedia untuk menyelaras maklumat yang tepat kepada rakyat dan yang paling penting kita bersedia menangkis apa sahaja berita fitnah dan sangka buruk terhadap parti dan kerajaan Terengganu,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa peranan penerangan amat penting dalam membina keyakinan rakyat serta memastikan kestabilan politik dan pentadbiran negeri terus terpelihara.

Dalam masa yang sama, beliau menyeru masyarakat agar sentiasa menilai sesuatu maklumat secara bijaksana dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang dakwaan yang tidak berasas.