KUALA NERUS – Bekas Timbalan Presiden Parti Bersatu Bersatu Malaysia, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengulangi dakwaan, seramai 19 daripada 25 Ahli Parlimen Parti itu menyatakan sokongan kepada beliau selaku Ketua Pembangkang, sekali gus mencetuskan perkembangan baharu dalam landskap politik pembangkang negara.
Beliau berkata, sokongan majoriti itu menunjukkan beliau masih mempunyai dukungan kukuh dalam kalangan wakil rakyat walaupun berdepan tindakan pemecatan daripada parti berkenaan sebelum ini.
“19 daripada 25 Ahli Parlimen bersama saya. Jadi siapa sebenarnya yang tidak wajar? Mungkin yang minoriti itu yang sepatutnya tidak berada di situ,” katanya ketika ditemui selepas program Pidato Penyatuan Ummah sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah ke-5 di Kompleks Sukan Terengganu, di sini, pada Sabtu.
Mengulas mengenai penglibatan parti tersebut dalam gabungan pembangkang (PN), Hamzah mencetuskan tanda tanya apabila memberikan bayangan bahawa entiti politik itu sememangnya sudah menjadi komponen dalam gabungan berkenaan.


“Menyertai ataupun sudah ada dalam Perikatan Nasional? Sebab itu saya kata tadi kita kena tunggu. Parti baru saya, tetapi parti itu mungkin sudah ada dalam PN,” ujarnya.
Menurutnya, sokongan yang diterima bukan sahaja melibatkan Ahli Parlimen, malah beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari seluruh negara dijangka akan turut menyatakan pendirian sama dalam masa terdekat.
Dalam perkembangan sama, Hamzah terus berteka-teki mengenai “rumah baharu” politiknya, namun memberi bayangan bahawa ia mungkin melibatkan parti sedia ada, termasuk kemungkinan bersama PAS.
Beliau menjelaskan, istilah “rumah baharu” tidak semestinya merujuk kepada penubuhan parti baharu, sebaliknya boleh membawa maksud penyertaan dalam wadah politik yang telah sedia ada.


“Dia bila kita kata rumah baharu tu, apakah ia merupakan parti baharu ataupun parti yang sedia ada? Jawapannya adalah tidak semestinya parti yang baharu ditubuhkan.
“Ya… kemungkinan parti yang sedia ada. Insya-ALLAH, apa salahnya (menyertai PAS). Pada saya rumah saya itu rumah baru saya, tapi rumah itu mungkin sudah tersedia ada,” katanya.
Hamzah dipecat daripada Bersatu berkuat kuasa serta-merta pada Februari lalu atas dakwaan melanggar perlembagaan parti.
Ditanya mengenai hala tuju dan perjuangan parti tersebut, Hamzah menekankan bahawa ia melangkaui soal kelangsungan politik individu, sebaliknya fokus kepada kepimpinan Melayu yang adil dan berpegang kepada prinsip agama serta Rukun Negara.
“Yang penting adalah perjuangan itu harus diteruskan. Hari ini kita membincangkan masalah orang Melayu. Orang Melayu mahu melihat negara ini terus dipimpin oleh pemimpin Melayu yang tahu bagaimana nak memberikan keadilan kepada semua,” tambah beliau


























