Konflik Asia Barat Jadi Tumpuan Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah

597

KUALA NERUS – Kupasan mengenai konflik Iran-Israel serta kehadiran tokoh dakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik menjadi daya tarikan utama Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 yang berlangsung di Kompleks Sukan Negeri, di sini pada Sabtu.

​Ketegangan di Asia Barat yang kini menjadi perhatian dunia itu dikupas oleh Duta Besar Republik Islam Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi sekali gus memberi impak dalam membincangkan hala tuju serta penyatuan umat Islam sejagat.

​Program yang diadakan serentak dengan Himpunan Alam Melayu 2026 itu dirasmikan oleh Mantan Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia yang juga Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Program tersebut dihadiri barisan diplomat dan tokoh dunia seperti termasuk wakil Konfrensi Melayu Sri Lanka, Khaludeane Azoor.

​Suasana di lokasi himpunan turut dibanjiri ribuan peserta yang mengenakan busana Melayu lengkap, melambangkan kebangkitan syiar Islam dan pemartabatan budaya di peringkat global.

​Terdahulu, sebagai simbolik sokongan padu rakyat, satu acara konvoi berskala besar yang dikenali sebagai Konvoi Bersama 4 Menteri Besar (SG4) telah diadakan dengan penyertaan lebih 3,000 motosikal.

​Konvoi yang bermula dari Dataran Batu Buruk itu diketuai sendiri oleh empat Menteri Besar di bawah kerjasama SG4 sebagai tanda solidariti kepimpinan dalam menyokong agenda perpaduan ummah.

​Rata-rata peserta yang menyertai konvoi tersebut mengenakan tema pakaian tradisional Melayu bagi menyemarakkan lagi semangat kebersamaan sebelum berakhir di destinasi utama di Kuala Nerus.

​Program yang dijadualkan berlangsung sehingga jam 12 tengah malam pada Sabtu itu terus menarik minat orang ramai untuk mengikuti pengisian ceramah dan perkongsian daripada tokoh-tokoh hebat yang dihimpunkan dalam satu pentas menerusi program Pidato Penyatuan Ummah.

Pidato tersebut disertai Menteri Besar Terengganu merangkap Pengerusi Perikatan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud; Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Presiden Berjasa, Zamani Ibrahim; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Pengerusi Gabungan Nasionalis, Aminuddin Yahaya dan Presiden Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa. – SH