PAS punya kekuatan sendiri

467

KUALA TERENGGANU – PAS membina kekuatan tanpa mengharapkan kelemahan di pihak lawan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Penolong Setiausahanya, Zakaria Dagang berkata, kelema-han yang dikenal pasti di pihak Barisan Nasional (BN) khususnya boleh dianggap sebagai bonus, namun bukan sebagai penambah kekuatan kepada parti itu.

Beliau berkata, sekalipun BN dikatakan mempunyai beberapa kepala sehingga mewujudkan pasukan tertentu, namun Pas tidak akan mengambil kesempatan terhadap peluang tersebut.

“Kita membina kekua-tan sendiri tanpa mengharapkan perpecahan dalam kalangan musuh walaupun ia dilihat satu bonus kepada kita,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, di sini.

Mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta BN bekerja sebagai satu pasukan dalam menghadapi pilihan raya akan datang, Zakaria tidak menolak BN mungkin mempunyai beberapa pasukan sehingga pemimpin kedua tertinggi Umno itu menyarankan perkara sedemikian.

Bagaimanapun, sepanjang berada dalam politik tanah air, Umno dilihat mempunyai banyak pasukan dan tidak terkecuali di peringkat negeri.

“Mungkin Muhyiddin mahu menggambarkan dalam kalangan pemimpin yang mempunyai pasukan itu tiada persamaan dari segi fikrah (fikiran) dan kita juga turut mendengar bahawa beliau dan Perdana Menteri dalam pasukan berbeza.

“Segelintir orang tahu dalam Umno sendiri memang ada ‘team’ dan klik tertentu sehingga membawa kepada perebutan kuasa dan kerusi,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan semangat satu pasukan boleh membentuk kekuatan dalaman parti selain mendapat keyakinan daripada orang ramai.

“Kita ambil contoh macam pasukan bola sepak, mesti ada satu kapten dan satu arahan untuk memastikan matlamat untuk mencapai kejayaan tercapai dan dalam politik pun, sepatutnya begitu,” katanya – SH