PAS Bantu Anak Muda Jauhi Maksiat

1152

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN – Kerajaan PAS Negeri Terengganu membantu anak mudanya menjauhi maksiat dengan menganjurkan ‘Walimatulurus Perdana’, mendirikan rumah tangga sejajar dengan tuntutan Islam.

Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, perkahwinan telah dijadikan manifesto bagi mencapai apa yang dihasratkan iaitu Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera (TMBS).

“Perkahwinan mengandungi banyak hikmah, juga melaluinya akan dapat membantu anak muda menjauhi perkara maksiat, juga dapat membendung daripada berlakunya gejala sosial yang tidak diingini.

“Melalui perkahwinan juga akan berlakunya pertambahan rakyat serta anak-anak yang bakal dilahirkan akan menjadi aset kepada Negeri Terengganu untuk memperkukuhkan kerajaan Islam melalui modal insan yang sejahtera,” ujarnya.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui pihak media, ketika program Walimatulurus Perdana 2019 Peringkat Parlimen Dungun, di Dewan Arena Merdeka Dungun, semalam.

Menurutnya, pada tahun ini, seramai 41 pasangan pengantin telah diraikan pada majlis berkenaan yang telah dirasmikan oleh, Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Dungun, Satiful Bahri Mamat yang juga merupakan EXCO Kerajaan Negeri Terengganu.

Doanya, agar kesemua pengantin yang diraikan berkenaan, dimurahkan rezeki oleh Allah SWT, sentiasa didalam keredhaan Allah, serta mencapai kebahagiaan sehingga ke akhir hayat.

“Kebahagiaan rumah tangga adalah sejauhmana setiap pasangan saling faham memahami, bijak menangani konflik, apa yang lebih penting ialah sejauhmana mengamalkan nilai Islam didalam keluarga,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan agar pasangan perkahwinan, terus mempertingkatkan ilmu keagamaan untuk menguruskan rumah tangga dengan baik.