Muslimat Perlu Bersedia Kempen Dalam Norma Baharu

109

Oleh : Noreni Abu Bakar

DUNGUN – Muslimat Parti Islam Se-Malaysia(PAS) diminta bersedia untuk berkempen dengan ‘norma baharu’ pada pilihan raya umum akan datang dan meningkatkan ilmu berkaitan serta menyertai bengkel dan kursus secara atas talian.
Pengarah Operasi Pilihan Raya PAS Terengganu, Al Ghazali Abu Bakar berkata dengan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) ekoran pandemik Covid-19 yang tidak lagi membenarkan pergerakan rayu undi secara fizikal dan program bertemu orang ramai secara bersemuka.

“Dengan itu muslimat terpaksa membiasakan diri dengan pendigitalan, sekaligus memahirkan diri dengan penggunaan media baru dan aplikasi seperti ‘Zoom’ dan ‘Google Meet’ untuk menyesuaikan diri dengan budaya norma baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran dalam Program Taklimat SOP Kempen Norma Baharu secara atas talian pada 28 Februari lepas.

Dalam pada itu, Al Ghazali mengiktiraf anggota Muslimat adalah jentera kempen terbaik di setiap pilihan raya kecil atau umum yang diadakan sebelum ini.

“Kita lihat muslimat sentiasa ke hadapan ketika bersemuka dengan para pengundi dan berkempen dalam era norma baharu ianya akan mencabar kemampuan muslimat.

“perlu diingatkan semasa kempen dulu, secara bersemuka bertemu orang ramai, tetapi kita hanya dibenarkan berjumpa dengan, paling ramai 20 orang dalam kempen norma baharu,

” kita terpaksa bercakap seorang diri depan komputer, namun sebaliknya yang mendengar kempen kita boleh mencecah ribuan orang, ” jelasnya.

Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah bersedia dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak sekiranya terpaksa diadakan dalam tempoh terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, garis panduan baharu itu juga selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mencegah penularan wabak koronavirus (Covid-19).